VITORIA-GASTEIZ (Sepanyol): Ibrahim Diabate menjaringkan satu-satunya gol untuk membantu tuan rumah Deportivo Alaves menewaskan juara baharu, Barcelona, 1-0 pada 13 Mei, sekali gus meraih kemenangan berharga yang membolehkan mereka keluar daripada zon relegasi La Liga dalam persaingan sengit mengelak penyingkiran ke divisyen bawah.

Gol itu dijaringkan pada masa tambahan separuh masa pertama, hasil tendangan sudut dengan Antonio Blanco menanduk bola semula ke petak penalti sebelum disempurnakan oleh penyerang pinjaman Diabate dari jarak dekat. 

Alaves kini menduduki tangga ke-15 dengan 40 mata daripada 36 perlawanan.

Sevilla dan Espanyol turut meraih kemenangan penting.

Namun, dengan hanya lima mata yang memisahkan Real Sociedad di tangga kelapan dengan Girona yang berada di kedudukan kedua dari bawah di tempat ke-19, banyak kelab masih berada dalam bahaya dengan liga musim ini hanya berbaki dua lagi perlawanan.

Martin Satriano menjaringkan dua gol bagi menjamin kedudukan Getafe –yang berada di tangga ketujuh – dalam liga utama Sepanyol musim hadapan dengan kemenangan 3-1 ke atas Mallorca, di hadapan penyokong sendiri.

Keputusan itu memastikan Getafe selamat daripada relegasi.

Mallorca turut berada di atas zon relegasi, namun hanya melalui perbezaan gol dengan pesaing di bawah mereka. 

Empat kelab – Girona, Alaves, Las Palmas dan Elche – semuanya mempunyai 39 mata.

Girona bagaimanapun masih mempunyai satu perlawanan lagi pada 14 Mei apabila menentang Real Sociedad.

Sementara itu, Real Oviedo telah disahkan jatuh ke divisyen bawah awal minggu ini.

Kedudukan mereka itu disahkan walaupun pasukan tidak turun beraksi di padang selepas ketinggalan 10 mata daripada zon selamat dengan tinggal baki tiga perlawanan.

Sebanyak 12 pasukan lain masih belum terlepas daripada bahaya.

Sevilla pula naik ke tangga ke-10, empat mata di atas zon bahaya, selepas menundukkan Villarreal yang berada di tempat ketiga dengan skor 3-2 pada 13 Mei, kemenangan penting yang memberikan mereka harapan musim ini.

Mereka bagaimanapun perlu bekerja keras dan bangkit daripada ketinggalan 0-2 selepas hanya 20 minit, sebelum gol-gol daripada Oso dan Kike Salas menyamakan kedudukan pada separuh masa. 

Akor Adams kemudian menjaringkan gol La Liga ke-10 musim ini pada minit ke-72 untuk memastikan tiga mata berharga bagi Sevilla.

Espanyol pula melangkah tiga mata jauh daripada zon relegasi dengan kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao di hadapan penyokong sendiri, sekali gus menjejas peluang lawan mereka untuk menyertai perlumbaan ke kejohanan Eropah musim hadapan.

Pemain Espanyol, Pere Milla, meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-69 sebelum Kike Garcia menambah gol kedua pada masa tambahan. – Reuters.