Alcaraz cipta sejarah sebagai pemain termuda capai Grand Slam kerjaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alcaraz cipta sejarah sebagai pemain termuda capai Grand Slam kerjaya

Feb 2, 2026 | 1:48 PM

Alcaraz cipta sejarah sebagai pemain termuda capai Grand Slam kerjaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Garlos Alcaraz, Australia Open, Tennis, Grand Slam
Pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz, meraikan mata kemenangan menentang pemain Serbia, Novak Djokovic, dalam final lelaki Terbuka Australia di Melbourne pada 1 Februari. - Foto AFP

MELBOURNE: Dengan setiap hayunan raket yang memukau, Carlos Alcaraz kelihatan semakin menghampiri satu lagi kemenangan bersejarah.

Pemain nombor satu dunia dari Sepanyol itu menjadi atlet lelaki termuda yang melengkapkan kejuaraan Grand Slam kerjaya selepas meraih kemenangan sulungnya di Terbuka Australia. 

Grand Slam kerjaya merujuk kepada pencapaian atlet menjuarai keempat-empat kejohanan utama tenis – iaitu Terbuka Australia, Terbuka Perancis, Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat – sekurang-kurangnya sekali sepanjang kerjaya mereka.

Kemenangan ke atas jaguh veteran Serbia, Novak Djokovic, pada 1 Februari, memastikan Alcaraz, 22 tahun, merangkul gelaran utama ketujuh dalam kerjayanya, hanya enam tahun selepas membuat penampilan sulung di peringkat profesional.

Alcaraz kini telah memenangi lima daripada lapan kejohanan utama terakhir yang disertainya. 

Beliau muncul juara dalam tujuh daripada lapan final utama sepanjang kerjayanya, dengan kalah hanya sekali.

Beliau mengikuti jejak pemain legenda seperti Djokovic, Rafael Nadal, Roger Federer, Andre Agassi dan Rod Laver, sekali gus menjadi pemain lelaki keenam dalam era Terbuka yang berjaya menyempurnakan Grand Slam kerjaya.

Alcaraz menandingi idola rakan senegaranya, Rafael Nadal, sebagai pemain lelaki termuda yang mencapai gelaran tersebut. 

Pemenang 22 gelaran utama, Nadal menjulang kejuaraan Grand Slam kerjaya pada umur 24 tahun pada 2010.

Nadal turut menyaksikan kemenangan bersejarah Alcaraz ke atas lawan lamanya, Djokovic, dari tempat duduk penonton di Melbourne, dalam final Terbuka Australia pada 1 Februari.

Dalam sejarah tenis, Alcaraz turut menewaskan rekod pemain Amerika, Don Budge, yang menyempurnakan Grand Slam kerjaya pada usia 22 tahun 355 hari pada 1938.

“Setiap kali saya datang ke Australia, saya berazam untuk menang, namun ia tidak berlaku. Tahun ini (2026), saya begitu bersemangat mahu menang,” kata Alcaraz.

“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan.”

Dengan meraih Grand Slam ketujuhnya, Alcaraz kini memegang rekod jumlah gelaran utama paling banyak sebelum mencecah umur 23 tahun berbanding mana-mana pemain lelaki lain dalam era Terbuka.

Hanya Bjorn Borg yang pernah memenangi enam gelaran utama pada usia lebih muda daripada Alcaraz, namun Borg telah mencapai umur 23 tahun ketika meraih gelaran ketujuhnya di Roland Garros (Terbuka Perancis) pada 1979.

Sebagai perbandingan, juara Grand Slam lelaki 24 kali, Djokovic, hanya memenangi satu gelaran utama sebelum mencapai umur 23 tahun.

Manakala, Alcaraz sudah dua kali menjuarai Terbuka Perancis, Wimbledon dan Terbuka Amerika.

Namun, sebelum 2026, pencapaian terbaik Alcaraz di Terbuka Australia adalah dua penampilan di suku akhir pada 2024 dan 2025.

Beliau memenangi Terbuka Amerika sulungnya pada percubaan kedua, menjuarai Wimbledon buat pertama kali pada penampilan ketiga, meraih gelaran Terbuka Perancis sulung pada penampilan keempat, dan melengkapkan kejayaan di Terbuka Australia pada penampilan kelimanya.

Dalam tujuh final utama yang dimenanginya, Alcaraz hanya berdepan dengan pemain di kalangan lima pemain terunggul dunia – termasuk menewaskan Djokovic sebanyak tiga kali, menewaskan Jannik Sinner sebanyak dua kali, serta mengalahkan Alexander Zverev dan Casper Ruud.

Salah satu pencapaian luar biasa Alcaraz ialah sejak meraih gelaran utama pertamanya pada September 2022, beliau telah menjuarai lebih daripada separuh kejohanan Grand Slam yang disertainya.

Selepas menjuarai Terbuka Amerika pada September 2025, Alcaraz menyatakan hasratnya untuk memulakan 2026 dengan pencapaian bersejarah.

Salah satu tumpuan utama Alcaraz ialah pukulan servisnya.

Sebelum ini dianggap sebagai aspek paling lemah dalam permainan beliau, pukulan servis Alcaraz kini kelihatan sama hebat seperti servis Djokovic, yang mempunyai ketepatan luar biasa.

Alcaraz telah menjadikan servisnya sebagai salah satu “senjata penting” beliau, seperti yang dilihat semasa Terbuka Amerika pada 2025, dengan rekod 98 kemenangan daripada 101 servis.

Dengan menambah gelaran perseorangan peringkat jelajah ke-25, Alcaraz kini berada di belakang Djokovic (101) dari segi jumlah gelaran paling banyak dimenangi oleh pemain aktif.

Beliau juga telah merangkul 15 gelaran besar, merangkumi Grand Slam, Final Persatuan Profesional Tenis (ATP), kejohanan Masters 1000, dan Olimpik.

Dengan purata satu gelaran besar bagi setiap 3.7 kejohanan yang disertainya, Alcaraz kini hampir menyamai rekod Djokovic (3.3) dan Nadal (3.5).

Pencapaian sejarah seterusnya bagi Alcaraz ialah menyamai pencapaian Laver sebagai lelaki kedua dalam era Terbuka yang berjaya meraih ‘Grand Slam Kalendar’, iaitu memenangi keempat-empat kejohanan utama dalam tahun yang sama. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg