Djokovic catat kemenangan ke-100 di Terbuka Australia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Djokovic catat kemenangan ke-100 di Terbuka Australia

Jan 20, 2026 | 3:45 PM

Djokovic catat kemenangan ke-100 di Terbuka Australia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Djokovic, kemenangan ke-100, Terbuka Australia
Jaguh tenis Serbia, Novak Djokovic, meraikan kemenangannya ke atas pemain Sepanyol, Pedro Martinez, di Terbuka Australia pada 19 Januari. - Foto AFP

MELBOURNE (Australia): Novak Djokovic mempamerkan kehebatannya apabila mencatatkan kemenangan ke-100 di Terbuka Australia dengan kemenangan straight set ke atas Pedro Martinez dari Sepanyol.

Pemain nombor empat dunia itu, yang sedang berusaha meraih gelaran Grand Slam ke-25, hanya kehilangan lima mata daripada 57 dalam servis sepanjang dua jam pertarungan yang sengit.

Pada usia 38 tahun, Djokovic melakukan lapan servis tanpa balasan, hanya kehilangan satu mata di set kedua dan ketiga.

Beliau juga memenangi 93 peratus mata daripada servis pertamanya, sambil mengekalkan peratusan servis pertama sebanyak 77 peratus.

Juara Terbuka Australia sebanyak 10 kali itu menamatkan perlawanan dengan servis tidak terbalas (ace) yang ke-14, dan menang dengan keputusan 6-3, 6-2, 6-2.

Juara sebanyak 17 kali Grand Slam, Mark Woodforde, memuji servis Djokovic sebagai “unggul” dan “luar biasa” di BBC Radio 5 Sports Extra, namun jaguh Serbia itu memberikan penilaian yang lebih sederhana terhadap persembahannya.

“Persembahan malam ini sangat baik, saya tidak boleh mengadu apa-apa. Servis saya sangat baik,” kata Djokovic.

“Sentiasa menjadi cabaran untuk memulakan kejohanan dengan langkah tepat dan menghantar isyarat yang betul, bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan kepada lawan yang menonton permainan anda.

“Saya ada beberapa hari tanpa perlawanan untuk memulihkan badan. Saya menggunakan setiap jam untuk bersiap sedia bagi cabaran seterusnya.”

Selepas mencatat 100 kemenangan di Melbourne, Djokovic, yang juga pernah mencapai lebih 100 kemenangan di Wimbledon (102) dan Roland Garros (101), ditunjukkan video sorotan daripada penampilan pertamanya dalam kejohanan utama pada 2005, semasa temu bual selepas perlawanan.

Djokovic tetap merendah diri dan menegaskan bahawa beliau tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan pencapaian dalam kerjayanya.

“Rasa memang seronok apabila berjaya mencapai 100 kemenangan.”

“Menjadi pencipta sejarah adalah satu motivasi hebat. Terutamanya dalam lima atau 10 tahun terakhir kerjaya saya, apabila saya berada di kedudukan untuk benar-benar mencipta sejarah, saya semakin terdorong untuk bermain tenis pada tahap terbaik saya.”

“Saya bernasib baik pada awal kerjaya saya kerana bertemu dengan orang yang membimbing saya untuk bermain jangka panjang, supaya tidak cepat keletihan, dan menjaga tubuh serta minda saya.”

“Saya gembira dapat bermain pada tahap ini dan satu lagi kemenangan adalah satu impian yang menjadi kenyataan,” kata Djokovic. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg