LONDON: Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, mengakhiri mimpi indah Oliver Tarvet di Wimbledon, apabila beliau menewaskan pemain Britain itu untuk mara ke pusingan ketiga, selepas mencatat kemenangan 6-1, 6-4, 6-4 pada 2 Julai.
Para penyokong Tarvet yang terpesona dengan persembahan mengagumkan dan semangat juangnya, memberikan sorakan padu kepada pemain itu, yang tampil sebagai pencabar tangkas buat Alcaraz.
Namun, pukulan bertenaga Alcaraz sukar dibalas oleh Tarvet, pemain ranking terendah dalam undian perseorangan lelaki.
Juara Grand Slam lima kali itu memanfaatkan lapan ‘break point’ (satu mata sebelum menang) dalam set pertama, hanya kalah satu perlawanan, dan berjaya mematahkan servis lawan sebanyak dua kali, untuk mendahului perlawanan.
Tarvet, 21 tahun, pelajar kolej di San Diego, Amerika Syarikat, akhirnya berjaya mematahkan servis Alcaraz, untuk mendahului 2-0 dalam set kedua.
Namun, keadaan itu seolah-olah menyentak Alcaraz, yang segera bangkit dan memenangi empat mata berturut-turut pada permainan seterusnya.
Alcaraz berjaya mematahkan servis lawan sekali lagi dalam permainan kesembilan, dan mengukuhkan kedudukannya dalam set kedua.
Namun, perlawanan masih berterusan dengan sengit.
Pemain nombor dua dunia itu sekali lagi mematahkan servis Tarvet untuk mendahului 3-2 dalam set ketiga.
Bagaimanapun, Tarvet yang enggan mengalah, bangkit semula pada permainan seterusnya.
Alcaraz sekali lagi bangkit dan memenangi empat mata berturut-turut untuk mendapatkan kelebihan, yang membolehkannya mendahului dalam set ketiga.
Satu servis padu yang menghasilkan mata kemenangan, membuat para penonton berdiri dan memberi tepukan gemuruh, bukan sahaja bagi meraikan kemenangan selesa Alcaraz, 22 tahun, malah memberi penghargaan kepada usaha gigih Tarvet.
Alcaraz menepuk bahu pemain Britain itu ketika meninggalkan gelanggang, sambil memberi kata-kata penghormatan terhadap persembahan lawannya.
“Pertama sekali, saya ingin memberi pujian besar kepada Oliver.
“Saya suka corak permainannya,” kata pemain Sepanyol itu di gelanggang.
“Saya tahu saya perlu bermain tenis dengan sebaiknya.
“Saya sangat gembira dengan persembahan saya, tetapi pujian besar juga untuk beliau.”
Alcaraz kini menang 20 perlawanan berturut-turut yang menyaksikan beliau menjuarai Rome Masters, Terbuka Perancis dan Kejohanan Queen’s Club.
Beliau berharap menjadi lelaki kelima dalam era Terbuka yang memenangi sekurang-kurangnya tiga gelaran Wimbledon berturut-turut, selepas Bjorn Borg, Pete Sampras, Roger Federer dan juara tujuh kali, Novak Djokovic.
Sebaliknya, Tarvet masih kurang dikenali dan baru sahaja memulakan kerjaya tenisnya.
“Ia memang sesuatu yang istimewa. Bukan setiap hari anda dapat bermain menentang antara pemain terbaik dunia.
“Saya rasa saya berjaya menikmati detik itu dan bermain tenis dengan baik,” kata Tarvet.
Sepanjang dua hari pertama, lapan daripada 10 pilihan utama dalam acara perseorangan lelaki dan wanita telah tersingkir – satu rekod Grand Slam dalam era Terbuka.
Pilihan kedua, Coco Gauff, dan pilihan ketiga, Jessica Pegula – kededuanya dari Amerika – serta pilihan kelima, Zheng Qinwen dari China, semuanya tewas dalam pusingan pertama. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg