Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alcaraz terselamat, Sabalenka mara pada hari pembukaan Wimbledon

Para pemain, penonton terpaksa harungi hari pertama paling panas dalam sejarah kejohanan
Jul 1, 2025 | 2:20 PM
Tenis, Wimbledon, Carlos Alcaraz
Pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz, beraksi dalam perlawanan pembukaan Wimbledon menentang, Fabio Fognini, dari Italy di Kelab All England, London. - Foto AFP

LONDON: Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, terselamat daripada kekalahan mengejut dalam perlawanan pembukaan Wimbledon pada 30 Jun, manakala pemain Belarus, Aryna Sabalenka, beraksi dengan tenang untuk mara pada hari pembukaan yang paling panas dalam sejarah kejohanan itu.

Suhu di Kelab All England mencecah lebih 32 darjah Celsius pada 30 Jun, melepasi rekod sebelumnya bagi permulaan kejohanan, iaitu 29.3 darjah Celsius yang dicatat pada 2001.

Alcaraz berjuang habis-habisan sebelum menang 7-5, 6-7 (5/7), 7-5, 2-6, 6-1 ke atas pemain Italy, Fabio Fognini, 38 tahun, dalam perlawanan sengit selama empat jam 37 minit di Gelanggang Tengah.

Alcaraz menunjukkan prestasi tidak tekal, termasuk melakukan 62 kesilapan sendiri.

Namun, pemain nombor dua dunia itu enggan menyerah walaupun dalam cuaca panas terik.

“Saya tidak tahu kenapa ini dikatakan menjadi permainan Wimbledon terakhir bagi Fabio.

“Tahap permainan yang beliau pamerkan menunjukkan beliau masih mampu bermain selama tiga atau empat tahun lagi,” kata Alcaraz.

“Bermain di Gelanggang Tengah ini untuk perlawanan pertama mana-mana kejohanan memang tidak mudah.

“Wimbledon amat istimewa dan berbeza. Saya cuba bermain sebaik mungkin, tetapi saya rasa saya ini bukan permainan saya yang terbaik,” tambahnya.

Semasa perlawanan, pemain berusia 22 tahun itu segera membantu seorang penonton yang rebah di tempat duduk, dengan menghulurkan sebotol air, sementara pasukan perubatan tiba memberi bantuan kepada wanita berkenaan.

Dalam cuaca panas melampau di London, pemain dan penonton sama-sama mencari tempat berteduh.

Dalam pada itu, bekas kapten bola sepak England, David Beckham, turut menyaksikan perlawanan tersebut dari tempat duduk diraja, bersama bekas pengurus pasukan England, Gareth Southgate.

Sementara itu, pemain pilihan utama wanita, Aryna Sabalenka, menggunakan pek ais untuk menyejukkan badan, selepas menang 6-1, 7-5 ke atas pemain kelayakan dari Canada, Carson Branstine, di Gelanggang Satu.

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan juara Grand Slam tiga kali, namun mengalami kekalahan teruk dalam perlawanan akhir Terbuka Australia dan Terbuka Perancis 2025 – kededuanya dalam tiga set.

Pemain nombor satu dunia itu tidak pernah melepasi peringkat separuh akhir di Wimbledon, dan terpaksa menarik diri daripada kejohanan 2024 akibat kecederaan bahu.

“Saya rasa amat baik. Sangat bersyukur kerana sihat dan bersedia untuk bersaing, serta berjaya melepasi pusingan pertama,” kata Sabalenka, yang akan menentang pemain ranking ke-48 dunia dari Republik Czech, Marie Bouzkova, dalam pusingan seterusnya.

Dalam pada itu, finalis dua kali Wimbledon, Ons Jabeur dari Tunisia, menangis sebelum menarik diri daripada perlawanan pusingan pertama menentang, Viktoriya Tomova, dari Bulgaria, atas sebab yang tidak dinyatakan.

Jabeur ketinggalan 7-6 (7/5), 2-0, apabila beliau memilih menamatkan perlawanan lebih awal menentang Tomova, yang berada di ranking ke-111 dunia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg