SEPANG: Alex Marquez daripada Gresini Racing mencatat kejayaan meraih petak pertama yang mendebarkan pada sesi kelayakan MotoGP Malaysia pada 31 Oktober.

Namun, juara dunia 2024, Jorge Martin, menarik diri daripada keseluruhan hujung minggu perlumbaan bagi meneruskan proses pemulihan daripada kecederaan patah tulang pergelangan tangan.

Alex merampas kedudukan petak pertama daripada abangnya, Marc Marquez, yang juga merupakan juara bertahan, menerusi pusingan terpantas terakhirnya di Litar Antarabangsa Sepang. 

Kejayaan itu sekali gus menafikan peluang pelumba Ducati tersebut yang sebelum itu dilihat berpeluang menduduki tempat teratas pada penghujung sesi kelayakan kedua (Q2).

Petak pertama itu merupakan yang ketiga dalam kerjaya MotoGP Alex, dan yang pertama baginya musim ini.

“Saya sebenarnya tidak menjangkakan mampu mencatat masa sepantas itu, tetapi percubaan pertama saya untuk catatan masa terpantas sudah cukup baik,” kata Alex.

“Catatan masa sudah berada dalam lingkungan 1 minit 56 saat, jauh lebih baik daripada jangkaan saya... Saya sendiri tidak percaya. Saya berjaya melakukan semuanya dengan sempurna. Segala-galanya berjalan dengan baik,” tambah beliau.

Sementara itu, Martin, yang memendekkan sesi latihan pada 30 Oktober bagi membantu proses pemulihannya selepas mengalami kecederaan dalam kemalangan perlumbaan pecut di Pulau Phillip hujung minggu lalu, sempat menyertai sesi latihan pagi pada 31 Oktober.

Bagaimanapun, pelumba dari Sepanyol itu jelas bergelut dengan keadaannya dan tidak menyertai sesi kelayakan pertama (Q1), sekali gus menamatkan penyertaannya pada hujung minggu perlumbaan tersebut.

“Kami membuat keputusan bersama doktor untuk tidak meneruskan perlumbaan,” kata pengurus pasukan Aprilia, Paolo Bonora.

“Sejujurnya, keadaannya lebih baik berbanding semalam, tetapi beliau masih tidak mampu memberikan tekanan ketika membrek.

“Justeru, kami semua bersetuju untuk tidak meneruskan perlumbaan dan memberi tumpuan kepada GP Doha,” tambah beliau.

Alex mencatat masa satu pusingan 1 minit 56.493 saat untuk meraih petak pertama, manakala Marc menamatkan sesi di tempat kedua dengan ketinggalan 0.070 saat selepas melonjak dari kedudukan kelima dan seketika dilihat berpeluang meraih petak pertama.

Pedro Acosta melengkapkan barisan hadapan selepas sekali lagi mempamerkan prestasi cemerlang dalam sesi kelayakan untuk Red Bull KTM.

Pelumba Aprilia, Ai Ogura dan Marco Bezzecchi, masing-masing layak di tempat keempat dan kelima, manakala Fabio Di Giannantonio, menduduki tempat keenam dalam sesi sengit itu.

Johann Zarco daripada pasukan LCR Honda dan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, berjaya mara ke Q2 selepas mengharungi sesi kelayakan pertama.

Bagaimanapun, Bagnaia berdepan sesi yang mengecewakan apabila beliau sempat memperbaiki kedudukannya sebelum terbabas sedikit di selekoh pertama. 

Beliau kemudian meluahkan rasa kecewa dengan mengetuk cermin hadapan motosikal Ducati miliknya selepas kembali ke pit. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti