Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alexander-Arnold umum tinggalkan Liverpool

Ramai penyokong Liverpool rasa terkilan, kecewa dengan bintang bek kanan kesayangan dijangka sertai Real Madrid
May 6, 2025 | 1:56 PM
Trent Alexander-Arnold, EPL, liverpool
Bintang bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, meraikan kemenangan Liga Perdana England (EPL) kelabnya musim ini. Ramai penyokong inginkan beliau kekal di Liverpool, tetapi pemain itu sudah mengesahkan bahawa beliau akan meninggalkan mereka pada akhir musim ini. - Foto EPA-EFE

ANFIELD: Pengumuman Trent Alexander-Arnold meninggalkan Liverpool pada akhir musim ini mengesahkan apa yang dijangkakan ramai sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun destinasi seterusnya tidak dinyatakan dalam video perpisahannya yang penuh emosi, ramai yang sudah tahu bahawa beliau akan menyertai rakan sepasukannya di England, Jude Bellingham, di Real Madrid.

Alexander-Arnold wajar dipuji kerana memilih untuk menjelaskan masa depannya sekarang.

Beliau boleh sahaja mengambil jalan mudah dengan menangguhkan pengumuman itu sehingga selepas perarakan kemenangan Liga Perdana England (EPL) di sekitar bandar Liverpool pada 26 Mei.

Sebaliknya, pemain berusia 26 tahun itu memutuskan untuk mendedahkan keputusannya lebih awal, dengan masih ada baki dua perlawanan di stadium sendiri – menentang Arsenal dan yang terakhir menentang Crystal Palace – dengan Liverpool sudah pun mengesahkan gelaran mereka sebagai juara England, menjulang trofi liga ke-20 mereka.

Tindakannya itu pasti membuat ramai penyokong Liverpool rasa terkilan dan kecewa, terutama sekali kerana mereka telah lama menyanyikan lagu yang menyifatkan Alexander-Arnold sebagai “anak jati Liverpool” dalam setiap perlawanan pasukan bergelar The Reds itu.

Namun, kini beliau telah memilih untuk meninggalkan kelabnya secara percuma.

Cara beliau meraikan gol kemenangannya di Leicester City pada 20 April, di mana beliau menanggalkan jersinya dan mengibarkannya di hadapan penyokong Liverpool telah menyalakan harapan bahawa beliau tidak akan meninggalkan mereka.

Dan mungkin juga beliau tidak sampai hati untuk meninggalkan kelab yang telah menjadi rumahnya selama dua dekad.

Namun, hakikatnya jelas apabila beliau sekali lagi enggan membincangkan masa depannya selepas kemenangan itu.

Ia seperti tiada rayuan emosi yang mampu mengubah fikirannya.

Perlawanan terakhirnya di Anfield pada 25 Mei pasti akan penuh dengan emosi, baik di dalam padang mahupun di kalangan penyokong.

Namun, meninggalkan kelab sebagai juara EPL mungkin dapat sedikit sebanyak mengurangkan rasa kecewa, tetapi rasa terkilan dan marah tidak dapat dielakkan.

Penyokong juga mempersoalkan ‘detik’ keputusan itu dibuat.

Beliau meninggalkan Liverpool ketika kelab tersebut berada di puncak kejayaan dan kelihatan berdaya untuk terus mencabar kejuaraan domestik serta di pentas Eropah untuk beberapa tahun akan datang.

Sebaliknya, Real kelihatan seperti pasukan yang sedang menghadapi fasa yang mencabar selepas dibelasah 5-1 oleh Arsenal dalam suku akhir Liga Juara-Juara.

Tambahan pula, perubahan besar dijangka berlaku di Santiago Bernabeu, dengan jurulatih legenda Carlo Ancelotti dijangka meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.

Jadi, kenapa tinggalkan kestabilan dan kejayaan Liverpool untuk menyertai Real ketika mereka dalam fasa peralihan?

Jika sah berpindah ke Real Madrid di penghujung musim ini, ia bermakna Trent Alexander-Arnold berpeluang beraksi di samping rakan sepasukan kelas dunia termasuk rakannya dalam pasukan England, Jude Bellingham, dan bintang Perancis, Kylian Mbappe (kededuanya dalam gambar).
Jika sah berpindah ke Real Madrid di penghujung musim ini, ia bermakna Trent Alexander-Arnold berpeluang beraksi di samping rakan sepasukan kelas dunia termasuk rakannya dalam pasukan England, Jude Bellingham, dan bintang Perancis, Kylian Mbappe (kededuanya dalam gambar). - Foto REUTERS

Jawapannya mudah – tarikan Real hampir mustahil untuk ditolak.

Pada 2023, Bellingham juga menjadi buruan kelab-kelab besar Eropah sebelum akhirnya memilih Real.

Petunjuk paling jelas mengenai masa depan Alexander-Arnold ialah apabila Real menawarkan £20 juta ($34 juta) semasa tempoh perpindahan Januari.

Mereka yang faham strategi perpindahan Madrid tahu bahawa kelab tersebut tidak akan membuat tawaran seperti itu, yang besar kemungkinan ditolak, melainkan mereka yakin perpindahan secara percuma akan berlaku pada masa akan datang.

Liverpool memang menolak tawaran tersebut, bukan sahaja kerana ingin mengekalkan bintang berbakatnya itu, bahkan dengan harapan Alexander-Arnold akan mengubah fikiran.

Segala-galanya berubah dua bulan kemudian apabila Alexander-Arnold menemui pengurus Arne Slot dan memberitahu secara rasmi bahawa beliau tidak akan menandatangani kontrak baru. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg