Topik diikuti
Pergi ke BHkuAlexis Sanchez sertai kelab MLS Montreal
MONTREAL: Penyerang Chile, Alexis Sanchez, yang juga mantan bintang Barcelona dan Arsenal, telah menandatangani kontrak bersama kelab Canada, CF Montreal, sekurang-kurangnya sehingga musim 2027, umum kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) itu pada 11 Ogos.
Pemain sayap berusia 37 tahun itu juga pernah beraksi bagi kelab lain termasuk Manchester United, Inter Milan dan Marseille, serta menghabiskan musim lalu bersama kelab La Liga, Sevilla.
“Saya sangat gembira dapat menyertai CF Montreal dan menyahut cabaran baharu ini,” kata Sanchez.
“Saya berterima kasih kepada kelab atas kepercayaan mereka terhadap saya dan saya tidak sabar untuk menyumbangkan pengalaman saya demi mencapai matlamat kita serta mencipta kenangan indah buat para penyokong.”
Dengan mencatat empat kemenangan dan empat keputusan seri daripada 18 perlawanan MLS, Montreal kini menduduki tangga ke-14 daripada 15 pasukan dalam Persidangan Timur (Eastern Conference).
Secara keseluruhan, Montreal berada di kedudukan ketiga dari bawah dalam MLS, di hadapan Atlanta dan Kansas City.
Pengarah Kanan CF Montreal, Luca Saputo, berharap kontrak berkenaan bakal menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula kelab Canada itu.
Perjanjian tersebut turut merangkumi pilihan bagi Sanchez melanjutkan kontrak bagi musim 2027-28.
“Ketibaan Alexis Sanchez merupakan satu langkah penting dalam projek sukan kami,” kata Saputo.
“Alexis mempunyai kemahiran teknikal dan pengalaman luar biasa di peringkat tertinggi bola sepak dunia.
“Personaliti, kepimpinan serta mentaliti berdaya saing beliau sangat bertepatan dengan identiti dan cita-cita kelab kami.
“Kami yakin beliau bakal memberi kesan positif serta-merta, sama ada di dalam padang mahupun dalam kalangan pasukan.”
Sanchez pernah membantu Barcelona menjuarai Piala Super Sepanyol, Piala Super Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), Piala Dunia Kelab Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), selain kejuaraan Sepanyol, Copa del Rey dan La Liga.
Beliau turut membantu Arsenal menjulang Piala FA pada 2015 dan 2017, selain memenangi gelaran Serie A bersama Inter Milan pada musim 2020-21 dan 2023-24, di samping dua kejuaraan Piala Super Italy (Supercoppa Italiana) dan satu Piala Italy.
Bersama skuad kebangsaan Chile pula, Sanchez membantu negaranya menjulang trofi kejohanan Amerika Selatan, Copa America, pada 2015 dan 2016. – AFP.
