Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

All Blacks terima pemohonan maaf Afrika Selatan

Sep 3, 2024 | 5:03 PM
Pasukan Ragbi New Zealand, All Blacks, membuat persembahan tarian ‘Haka’ sebelum perlawanan Kejohanan Ragbi menentang pasukan Afrika Selatan pada 31 Ogos. Namun, persembahan itu diganggu oleh bunyi bising bunga api, muzik dan jet yang berlalu.
Pasukan Ragbi New Zealand, All Blacks, membuat persembahan tarian ‘Haka’ sebelum perlawanan Kejohanan Ragbi menentang pasukan Afrika Selatan pada 31 Ogos. Namun, persembahan itu diganggu oleh bunyi bising bunga api, muzik dan jet yang berlalu. - Foto EPA-EFE

JOHANNESBURG: Pasukan ragbi, All Blacks, telah menerima permohonan maaf pihak Afrika Selatan pada 3 September selepas bunyi bunga api, muzik dan laluan jet menjejas persembahan ‘Haka’ – sejenis tarian perang tradisional budaya Maori – sebelum perlawanan antara All Blacks dengan Afrika Selatan pada 31 Ogos.

Kesatuan Ragbi Afrika Selatan (SA Rugby) telah memohon maaf kepada New Zealand dan pihak All Blacks berkata mereka tidak menganggap gangguan bising itu sebagai tanda tidak hormat.

“Secara jujur, anda kadangkala mengalami sedikit kekecohan semasa perkara itu (Haka),” kata penolong pengurus All Blacks kepada media New Zealand di Cape Town.

“Pemain Afrika Selatan sendiri berdiri di sana dan menghormatinya seperti mereka selalu lakukan.”

Afrika Selatan, yang turut dikenali dengan julukan Springboks, memenangi perlawanan tersebut 31-27, mengekalkan kedudukan mereka di tempat teratas Kejuaraan Ragbi, dengan kelebihan lapan mata daripada pasukan tempat kedua dan juara bertahan, New Zealand.

‘Haka’, yang mula diperkenalkan semasa jelajah All Blacks pertama ke Eropah pada 1905, biasanya dipersembahkan oleh pasukan New Zealand selepas lagu kebangsaan mereka dan sebelum perlawanan antarabangsa bermula.

Pasukan lawan, sebagai tanda hormat, perlu berdiri dan menghadapi All Blacks semasa mereka melakukan ritual itu.

Ketua Eksekutif SA Rugby, Rian Oberholzer, berkata bunyi bising akibat penerbangan lalu pesawat, muzik dan bunga api itu “tidak disengajakan”.

Seorang jurutera bunyi tersilap menganggap sorakan 62,000 penonton sebagai tanda ‘Haka’ telah selesai dan memulakan semula program muzik.

“Memang tidak pernah ada niat untuk mengadakan kegiatan yang bercanggah dengan detik yang sangat ikonik semasa perlawanan menentang All Blacks,” kata Oberholzer.

“Ia berlaku tidak kena pada masanya dan kerana kesilapan manusia.”

SA Rugby akan memastikan perkara itu tidak berulang apabila kededua pasukan bertemu sekali lagi di Cape Town pada 7 September, tambahnya.

Penyerang All Blacks, Ethan Blackadder, berkata mereka menghargai bahawa Afrika Selatan telah meminta maaf dan mengatakan bahawa “agak sukar untuk menetapkan masa yang tepat bagi laluan kapal terbang”.

“Secara peribadi, saya tidak perasan,” katanya.

“Kami semua hanya sedang memberikan tumpuan kepada lawan kami.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg