Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Tunggak All Blacks: Bersatu, komitmen, kekuatan utama New Zealand

Oct 28, 2023 | 05:30 AM



PARIS: “Saya rasa kepedihan yang dirasakan malam ini, adalah baik untuk kita semua,” kata Ardie Savea.


Savea tidak sepatutnya berada di sana malam itu.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya menyandang jawatan kapten New Zealand selepas Sam Cane cedera semasa memanaskan badan bagi perlawanan pembukaan Piala Dunia Ragbi menentang tuan rumah Perancis.

Masuk pada notis lewat, beliau mengetuai All Blacks dan, selepas mereka kalah, terpaksa berdepan soalan pada sidang media di Stade de France.

Ditanya mengenai kesan kekalahan peringkat kumpulan pertama dalam sejarah New Zealand itu, beliau menjawab tanpa ragu-ragu.

“Adalah penting kami bersatu sebagai sebuah pasukan,” katanya.

“Kami kalah dalam pertempuran, tetapi masih ada perang yang perlu dimenangi.”

Kini, hanya 80 minit memisahkan All Blacks dengan misi mereka menjulang Piala Dunia.

Kecemerlangan Savea menjadi kunci bagi New Zealand dalam pertandingan Piala Dunia sejauh ini.

Statistik bagi dirinya menakjubkan dalam hampir semua aspek permainan – menewaskan semua nama bintang dalam pertandingan gilang-gemilang itu – sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai seorang pemain berbilang bakat, atau all-rounder.


Dalam kemenangan pusingan kalah mati ke atas Ireland, beliau melakukan sepakan kotak seperti scrum-half dan terjun ke sudut seperti pemain sayap.


Savea juga mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Menjelang perlawanan suku akhir, beliau berkata: “Kami akan turun padang, menikmati suasana di stadium dan bermain footy”.


Namun, pemain seyakin Savea juga menyedari kepentingan perlawanan final.

“Kami percaya pada satu sama lain dan percaya pada permainan kami. Itu membawa kami ke peringkat ini. Kami tidak perlu membuktikan apa-apa kepada dunia,” katanya dengan nada serius.

“Mungkin apabila ragbi telah menjadi sesuatu yang berterusan bagi anda, di situlah anda menikmati keselesaan, iaitu apabila padang menjadi bak rumah kedua anda.”

Bapanya Masina dan ibu Lina, yang kedua-duanya berpindah ke New Zealand dari Samoa, bermain ragbi pada peringkat tertinggi, manakala abangnya Julian juga seorang pemain ragbi profesional dan menjadi inspirasi bagi Savea.

Julian, tiga tahun lebih tua, adalah pemain sayap yang boleh merosakkan sembarang benteng pertahanan, yang menjaringkan lapan percubaan semasa kempen Piala Dunia 2015 – kali terakhir All Blacks menjulang mahkota itu.

Savea, yang semasa remaja mempunyai tatu nama keluarga di lehernya, dikelilingi enam bintang yang melambangkan ahli keluarga terdekatnya. Beliau berpeluang mengikut jejak langkah abangnya.

Bagaimanapun, peningkatan Savea ke puncak sukan ragbi tidak sentiasa lancar dan pantas.

Dalam negara sehebat New Zealand, seorang pemain ragbi itu perlu menunggu gilirannya dengan sabar, namun tetap tekun.

Beliau mengambil masa tiga tahun untuk menjadi pilihan utama pada peringkat antarabangsa, pada mulanya bermain dalam posisi flanker sebelum mengisi kekosongan posisi nombor lapan disebabkan persaraan Kieran Read pada 2019.


Beliau juga pernah dirundung kontroversi.

Dalam satu perlawanan liga Ragbi Super awal 2023, beliau membuat isyarat lucah ke arah lawan selepas dibuang padang.

Namun, penyesalannya pantas dan ikhlas. Sebelum kembali ke bilik persalinan, Savea pergi ke kamera televisyen untuk memohon maaf kerana kehilangan kesabarannya yang luar biasa.

“Saya angkat tangan dan meminta maaf tidak terhingga,” katanya. “Saya perlu menjadi lebih baik, tiada alasan untuk saya, saya perlu menjadi lebih baik.”

Savea kini di ambang detik diisytiharkan sebagai yang terbaik. Jika menang dinihari ini (4 pagi waktu Singapura) di Stade de France, reputasinya akan diperkukuh.

Jika seperti yang dijangka Savea disenaraikan bagi menerima anugerah pemain terbaik dalam Piala Dunia Ragbi ini, beliau mengikut jejak langkah Julian, yang dinamakan dalam senarai pendek pada 2014 dan 2015, walaupun anugerah itu diberi kepada pemain lain.

Jika New Zealand menjulang Piala Dunia Ragbi ini, keluarga Savea akhirnya mendapat penghormatan individu yang gemilang itu.

“Dalam sebuah keluarga yang gila ragbi, ia pastinya ia satu penghormatan besar. Tapi saya tidak fikirkan perkara itu. Jauh sekali daripada fikiran saya.

“Yang saya fikirkan ialah 80 minit yang akan datang. Itu saja. Saya perlu turun ke padang, lakukan tugas saya, bermain bermati-matian untuk rakan-rakan, penyokong dan negara. Itu sahaja,” ujar beliau. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >