Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alonso jangka Aston Martin mula musim baru F1 dengan lebih baik

Feb 24, 2025 | 5:33 PM
Fernando Alonso (kiri) bersama rakan sepasukannya di Aston Martin, Lance Stroll, berharap dapat memberikan saingan lebih hebat dalam F1 musim baru ini.
Fernando Alonso (kiri) bersama rakan sepasukannya di Aston Martin, Lance Stroll, berharap dapat memberikan saingan lebih hebat dalam F1 musim baru ini. - REUTERS

SILVERSTONE (England): Fernando Alonso menjangkakan pasukan Aston Martin akan memulakan musim baru Formula Satu (F1) dengan lebih baik selepas mempelajari beberapa pengajaran penting pada 2024.

Pasukan yang berpangkalan di Silverstone itu memperkenalkan kereta AMR25 baru berkuasa Mercedes mereka secara dalam talian pada 23 Februari – sebelum ujian pramusim di Bahrain pada 26 Februari.

Mereka telah menduduki tempat kelima untuk tahun kedua berturut-turut pada 2024.

Harapan tinggi diletakkan selepas juara dunia dua kali, Alonso, berjaya naik podium (tiga tempat teratas) sebanyak enam kali dalam lapan perlumbaan pertama pada 2023.

Namun pemandu asal Sepanyol itu gagal menduduki tempat lebih baik daripada kedudukan kelima pada 2024, manakala rakan sepasukannya, Lance Stroll, hanya sekali menduduki tempat keenam.

Dan Fallows, yang sebelum ini merupakan pengarah teknikal mereka, telah digantikan pada November.

Pasukan itu lalu membawa masuk bekas pengarah teknikal pasukan Ferrari, Enrico Cardile, dan pereka bentuk pasukan Red Bull, Adrian Newey, yang akan memulakan tugas pada 3 Mac.

Musim baru F1 pada 2025 akan bermula di Australia pada 16 Mac.

“Saya rasa kami telah mempelajari pelbagai perkara pada 2024. Bahagian kedua musim lalu merupakan satu eksperimen untuk mempelajari lebih banyak perkara bagi kereta lumba 2025,” kata Alonso.

“Alat simulator kami juga telah dikemas kini, jadi kami telah banyak bekerja dengan simulator itu untuk membangunkan kereta dengan lebih baik lagi berbanding musim-musim sebelum ini.

“Kami mempunyai alat baru. Kami mempunyai organisasi baru.

“Kami mempunyai orang-orang baru untuk mengatasi beberapa kelemahan yang kami kenal pasti pada 2024. Jadi, saya rasa kami akan memulakan musim ini di kedudukan yang lebih baik.

“Kami masih perlu bekerja keras, itu sudah pasti... kami kehilangan sedikit masa pada 2024 dan kami rasa kami akan dapat menebus waktu yang hilang itu dalam masa terdekat.”

Stroll bersetuju: “Kami telah melakukan banyak eksperimen sepanjang 2024 dan saya rasa kami telah banyak belajar kenapa beberapa peningkatan tidak memberi kami hasil yang diinginkan.

“Segala yang telah disertakan dalam membangunkan kereta pada 2025 mengambil kira banyak pengajaran yang kami perolehi pada 2024.”

Ketua pasukan, Andy Cowell, yang mengambil alih jawatan Mike Krack pada Januari, enggan menetapkan jangka masa bagi meraih kejayaan dan berkata tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.

Beliau berkata kerja yang banyak telah dilakukan untuk menjadikan kereta baru mereka lebih stabil semasa melalui selekoh dan lebih mudah dikawal semasa dipandu.

Cowell juga berharap untuk mendapatkan penyepaduan yang lebih baik, iaitu memadankan data dari terowong udara dengan apa yang berlaku di trek lumba.

Sebuah terowong udara baru akan dibuka di Silverstone tidak lama lagi, memberi pasukan itu kemudahan mereka sendiri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg