LONDON: Pemandu baru Haas, Oliver Bearman, memberi harapan kepada pemandu pelajar di seluruh dunia pada Selasa selepas beliau mendedahkan bahawa dirinya pernah gagal dalam ujian pemanduan pada percubaan pertama.
Peristiwa yang mengejutkan itu berlaku pada 2022, sebelum pemandu muda dari Britain berusia 19 tahun itu membuat penampilan pertama Grand Prix.
“Saya lulus pada percubaan kedua. Saya sepatutnya tak perlu beritahu (tentang) ini. Saya tidak berhenti di tanda berhenti,” katanya kepada wartawan menjelang pelancaran musim Formula Satu dengan 10 pasukan di 02 Arena London.
“Saya tidak membuat kesilapan. Saya mula perlahankan (kereta), (kelajuannya seperti) saya merangkak, tapi sebenarnya saya harus berhenti. Tiada tanda yang berkata sedemikian di litar perlumbaan.”
“Itulah saya, atau seperti pemandu perlumbaan lain, saya fikir bahawa saya boleh lulus ujian tanpa mengambil kelas, jadi mungkin itu punca kesilapan saya.
“Selepas itu, saya (mula) mengambil beberapa kelas sebelum ujian kedua.”
Bearman akan memulakan musim penuh pertamanya di Australia pada 16 Mac selepas penampilan pertama yang mengagumkan sebagai pengganti untuk Ferrari dan Haas tahun lalu.
Antara pesaingnya adalah Andrea Kimi Antonelli, pemandu berusia 18 tahun dari Italy yang menggantikan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton di Mercedes, yang juga baru lulus ujian pemanduannya pada Januari.
“Saya agak gugup, saya takkan bohong,” kata Antonelli kepada Reuters secara berasingan pada Selasa, walaupun sebenarnya beliau tidak perlu risau.
“Selepas ujian, kami juga berbual dengan baik kerana beliau sangat berminat dengan sukan ini,” katanya tentang pemeriksa ujiannya.
“Tapi dalam ujian, beliau bertindak sebagai pemeriksa saya. Tidak kira siapa saya, beliau mahu melihat saya mengikuti setiap peraturan dan segala-galanya... beliau berkata saya melakukan semua dengan baik.
“Cuma pada permulaan, saya agak agresif dengan stereng.” – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg