Menjelang tempoh rehat musim panas, perhatian kini tertumpu pada prestasi pertengahan musim 2025 dalam kalangan pemandu perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1).
Oscar Piastri dan Lando Norris menjadi pesaing utama dalam perebutan kejuaraan pemandu yang semakin sengit, manakala Max Verstappen pula masih menunjukkan potensi untuk menjadi lebih baik.
Dalam kalangan pemandu baru, Gabriel Bortoleto, menyerlah sebagai bakat yang wajar diberi perhatian.
Pemandu McLaren, Piastri, kini berada di kedudukan teratas dalam kejuaraan dunia dan sangat layak menduduki tempat tersebut.
Beliau bukan sahaja pantas dengan kereta terbaik dalam perlumbaan, malah turut tekal dan tenang.
Prestasi beliau menyerlah bukan melalui aksi dramatik di litar, bahkan ketepatan luar biasa yang dilihat melalui cara dan sikap beliau mengendalikan pemanduan.
Dalam 14 perlumbaan pembukaan musim ini, beliau telah berentap secara sengit dengan rakan sepasukan, Lando Norris, dan secara keseluruhan, Piastri mendahului Norris.
Piastri telah mencatat enam kemenangan dan hanya dua kali gagal berdiri di atas podium, lapor The Guardian.
Tiga kemenangan berturut-turut di Bahrain, Arab Saudi, dan Amerika Syarikat jelas mencerminkan tekadnya merebut kejuaraan, dan beliau juga jarang melakukan kesilapan.
Satu-satunya kesilapan dalam rekod hampir sempurna Piastri ialah apabila beliau tergelincir ketika hujan di Australia dan melanggar peraturan keselamatan kenderaan di Litar Silverstone, England.
Memulakan musim sebagai pilihan utama, Norris dijangka memanfaatkan kelebihan McLaren yang unggul dalam kalangan pasukan yang bersaing.
Namun, selepas permulaan baik di Australia, jelas bahawa McLaren MCL39 miliknya tidak memberikan cengkaman hadapan yang beliau sukai, terutama ketika sesi kelayakan.
Norris mengakui beliau memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kereta tersebut.
Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan memburukkan keadaan, termasuk kemalangan ketika sesi kelayakan di Arab Saudi, serta kejadian terlanggar rakan sepasukan di Canada.
Jauh daripada berputus asa, pemandu Britain itu terus memberi tumpuan dan menunjukkan prestasi hebat dengan kemenangan di Monaco dan Austria serta strategi bijak di Budapest, Hungary.
Jika Norris dapat memperbaiki kelemahannya, beliau akan kekal menjadi pencabar utama rakan sepasukannya, Piastri, hingga ke akhir musim.
Sebelum perlumbaan di Hungary, pelumba Red Bull, Verstappen, mengesahkan akan kekal bersama pasukan tersebut pada 2026, namun tidak menyatakan sama ada akan menamatkan kontraknya sehingga 2028.
Juara dunia itu mengakui peluang merangkul gelaran F1 2025 tipis, namun masih komited mengekalkan prestasi dan kestabilan pasukan.
Namun, dalam 14 perlumbaan setakat ini, prestasi kereta Red Bull kurang memuaskan.
Penyingkiran ketua pasukan, Christian Horner, yang telah menerajui pasukan selama 20 tahun, dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan dalam pasukan.
Meskipun kereta sukar dikendalikan, Verstappen tetap meraih dua kemenangan mengagumkan.
Kini, beliau dan pasukannya menumpukan perhatian kepada peraturan baru musim depan serta penyesuaian pasukan di bawah kepimpinan ketua baru, Laurent Mekies.
Selepas Sauber menaik taraf keretanya di Sepanyol, Gabriel Bortoleto, pemandu muda Brazil berusia 20 tahun ini mula menunjukkan peningkatan dari segi prestasi, meskipun keretanya tidak sehebat pasukan lain.
Beliau turut menonjol dalam kalangan muka baru musim ini.
Dalam pasukan Racing Bulls, Isack Hadjar menonjol dengan prestasi yang tekal dan penuh keyakinan, malah sering mengatasi rakan sepasukannya, Liam Lawson – yang sebelum ini pernah dipilih Red Bull untuk ke pasukan utama buat sementara.
Sementara itu, Kimi Antonelli, menunjukkan potensi bersama Mercedes, tetapi masih belum tekal dalam mengendalikan kereta lumba yang pernah dipandu, George Russell, untuk meraih kemenangan di GP Canada.
Namun, Bortoleto menunjukkan potensi lebih besar.
Selepas kereta Sauber dinaik naik taraf di Barcelona, Bortoleto meraih mata pertamanya di Austria dan hampir menewaskan, Fernando Alonso, untuk menduduki tempat ketujuh.
Beliau kemudian terlibat dalam satu kemalangan di Silverstone ketika menggunakan tayar khas untuk jalan kering sewaktu hujan, namun berjaya mengutip mata di Belgium, dan prestasinya di Hungary benar-benar mencuri tumpuan.
Beliau bermula dari petak ketujuh – 12 anak tangga di depan rakan sepasukannya, Nico Hülkenberg – dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam selepas aksi penuh semangat.
Jika prestasi itu berterusan, Sauber – yang akan dikenali sebagai Audi pada musim depan – bakal memiliki aset berharga. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg