Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Norris juarai GP Hungary, akur saingan sengit dengan rakan sepasukan Piastri

Aug 4, 2025 | 2:02 PM
F1, McLaren, Lando Norris
Pemandu McLaren, Lando Norris (tengah), meraikan kemenangan selepas memenangi Grand Prix (GP) Formula Satu Hungary di Litar Hungaroring di Mogyorod, pada 3 Ogos. - Foto AFP

MOGYOROD (Hungary): Pemandu McLaren, Lando Norris, mengakui selepas kemenangannya di Grand Prix (GP) Hungary bahawa beliau “menyusahkan dirinya sendiri” dalam persaingan merebut kejuaraan menentang rakan sepasukan, Oscar Piastri.

Kemenangan Norris merapatkan jurang mata dengan Piastri kepada sembilan menjelang tempoh rehat musim panas Formula Satu (F1), sekali gus merupakan kemenangan ketiganya dalam empat perlumbaan terakhir.

Kejayaannya itu dicapai meskipun beliau telah tercicir dari petak ketiga ke tempat kelima pada pusingan pertama selepas mengambil risiko cuba memotong Piastri di selekoh pertama.

Mengulas tentang persaingan sengit tersebut, Norris berkata:

“Ia memang sukar, dan akan terus menjadi sukar. Jurang antara kami sangat kecil. Saya pasti ada perkara yang boleh saya perbaiki, dan saya yakin beliau juga akan berkata perkara yang sama.

“Saya pasti ia akan menjadi separuh musim yang panjang, tetapi pada masa yang sama, saya menantikan rehat yang diperlukan, sedikit masa untuk berehat dan kembali dengan prestasi yang lebih baik kerana memang ada beberapa perkara yang perlu dan mahu saya perbaiki.

“Saya tidak memberi peluang terbaik kepada diri sendiri. Meskipun keputusan itu kelihatan baik, buat masa ini saya sebenarnya tidak membuat hidup saya terlalu mudah. Justeru, jika saya boleh perbaiki perkara-perkara itu, saya akan berada dalam kedudukan yang lebih baik.”

Perlumbaan di Hungary adalah satu daripada beberapa perlumbaan musim ini di mana perkara-perkara kecil telah menjejas peluang Norris dalam perebutan kejuaraan.

Norris menamatkan sesi kelayakan di tempat ketiga di Litar Hungaroring, di belakang pemandu Ferrari, Charles Leclerc, dan rakan sepasukan, Piastri.

Namun, semasa perlumbaan, selepas Piastri menghimpitnya dengan rapat dalam laluan menuju ke selekoh pertama, Norris kehilangan beberapa kedudukan kepada pemandu Mercedes, George Russell, dan pemandu Aston Martin, Fernando Alonso.

Norris kemudian bertukar kepada strategi satu hentian dalam cubaan merapatkan semula kedudukan, lapor BBC Sport.

Mujur, pertaruhan tersebut membuahkan hasil, kerana pasukan McLaren sendiri tidak pasti sama ada strategi itu akan berhasil ketika keputusan dibuat.

“Ini antara kemenangan pertama yang saya raih dengan cara sebegini.

“Saya belum menang banyak perlumbaan, jadi kebanyakan keadaan masih baru bagi saya, tetapi saya rasa ini kali pertama saya mencuba strategi yang benar-benar berbeza daripada sebilangan besar pemandu, (dan strategi itu) memberikan peluang yang akhirnya berhasil.

“Strategi ini memang susah untuk dilaksanakan, tetapi ia membuahkan hasil. Itu yang paling penting. 

“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan strategi itu akan berhasil sepanjang sebahagian besar pusingan kedua, tetapi dengan setiap pusingan, keyakinan saya semakin meningkat bahawa ia akan membawa saya lebih hampir kepada kejayaan. Jadi, ya, ia benar-benar satu kemenangan yang memuaskan,” jelas Norris.

Ini merupakan kemenangan kelima Norris pada musim ini, berbanding enam kemenangan oleh Piastri, dan kedua-dua pemandu menjangkakan persaingan sengit sehingga penghujung musim apabila kejuaraan disambung semula di Grand Prix Belanda pada 29 hingga 31 Ogos.

“Separuh kedua musim ini akan menjadi sangat mencabar. Ia sudah pun mencabar, dan jurang mata antara kami sangat tipis. Jadi, saya rasa ia akan menjadi perlumbaan yang menarik untuk ditonton,” kata Piastri.

Pengarah pasukan McLaren, Andrea Stella, berkata pihaknya akan terus memberi peluang kepada kedua-dua pemandu mereka untuk berlumba secara adil.

“Kami mahu memberi peluang kepada kedua-dua pemandu kami untuk bersaing dan menyerlahkan bakat mereka, mengejar cita-cita serta kejayaan peribadi mereka, dan semua ini perlu berlaku dalam sempadan (menjaga) kepentingan pasukan, serta berdasarkan prinsip keadilan, semangat kesukanan, dan saling menghormati antara satu sama lain,” kata Stella. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg