Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amanda Nunes bersara selepas berjaya pertahan mahkota

Jun 18, 2023 | 5:30 AM
AMAT HEBAT: Amanda Nunes (kiri) bertarung hebat sehingga mampu menundukkan lawan terakhirnya, Irene Aldana, semasa pertandingan UFC 289 t pada Sabtu.
AMAT HEBAT: Amanda Nunes (kiri) bertarung hebat sehingga mampu menundukkan lawan terakhirnya, Irene Aldana, semasa pertandingan UFC 289 t pada Sabtu. - Foto AFP

VANCOUVER: Bintang UFC (Ultimate Fighting Championship) wanita, Amanda Nunes, mengumumkan persaraannya selepas memenangi pertarungan menentang Irene Aldana di UFC 289, pada Sabtu.

Atlet berusia 35 tahun itu amat dikenali sebagai ahli seni pertahanan diri wanita paling hebat, dan merupakan satu-satunya wanita yang telah menang dua kejuaraan dalam promosi sukan itu.

Selepas kemenangannya dalam pertarungan di Rogers Arena, di Vancouver, Canada, beliau meletakkan kededua tali pinggang kemenangannya itu di tengah gelanggang dan mengumumkan persaraannya itu.

“Malam ini merupakan malam paling sesuai untuk saya bersara,” katanya.

“Ibu saya telah meminta saya melakukannya sekian lama. Beliau tidak tahan melihat keadaan saya.

“Saya kini ingin nikmati segala yang telah saya hasilkan. Saya ingin melancong dengan keluarga saya.

“Saya tinggalkan keluarga saya di Brazil semasa saya masih muda semata-mata mengejar impian saya ini.

“Tapi tidak terlintas dalam fikiran yang saya akan menjadi juara. Apabila jadi juara, perasaannya luar biasa.

“Saya berasal dari sebuah bandar kecil di Brazil, tiada siapa tahu di mana, tapi saya ke mari dan kemudian saya jadi juara,” tambahnya.

Nunes menguasai pertarungan itu dan berjaya pertahankan kejuaraan bantamweightnya dengan meraih keputusan 50-44, 50-44 dan 50-43.

Beliau, yang juga juara featherweight wanita UFC, mempunyai kerjaya hebat sepanjang 15 tahun dengan 27 perlawanan, termasuk kejuaraan dalam sejarah UFC.

Semasa kerjayanya, beliau menewaskan bekas juara termasuk Cris Cyborg, Ronda Rousey dan Valentina Shevchenko.

Beliau sepatutnya bertemu Juliana Pena tetapi bekas juara itu menarik diri akibat kecederaan bulan lalu dan digantikan oleh Aldana.

“Kadangkala anda berasa sedih, seperti semasa saya tewas. Tapi motivasi saya kembali.

“Pastinya pengalaman itu amat menyeronokkan kerana ia satu kesedihan yang berlainan.

“Ia membuat saya lebih dahagakan kemenangan seperti saya mulakan kerjaya ini.

“Semuanya kembali. Semangat keazaman, dahaga untuk terus berlatih serta lakukan yang terbaik, dan itulah motivasi kedua saya,” tambahnya.

Sebelum ini Nunes pernah menyatakan bahawa pencapaian yang diraih dalam gelanggang oktagon bak mengesahkan legasinya selaku “juara terbaik yang tidak pernah mengalah”.

“Saya pecahkan banyak rekod. Saya juga pernah tewas dalam perlawanan dan kehilangan tali pinggang saya, tapi saya dapatkannya semula. Saya memang seorang juara yang amat sibuk.

“Saya rasakan bahawa para peminat akan rindukan saya selepas saya bersara dan itulah perasaan paling hebat nanti buat saya,” jelasnya lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg