MANCHESTER: Pengurus baru Manchester United, Ruben Amorim, meraikan kemenangan 3-2 ke atas Bodo/Glimt dalam perlawanan Liga Europa, namun mengaku berasa bimbang sedang pemainnya cuba memahami kehendak gaya bola sepaknya.
Beliau tiba di Manchester United dengan azam mengamalkan sistem bek sayap, yang jarang digunakan United, dan sedang jadual perlawanan sangat padat.
Amorim hanya dapat melatih pasukan penuhnya dua hari sebelum perlawanan pertamanya menentang Ipswich pada 25 November, dan dua lagi sesi sebelum perlawanan Europa di Old Trafford pada 28 November.
Beliau mendedahkan bahawa pemain yang tidak memulakan perlawanan dijangka berlatih lebih keras selepas perlawanan.
Namun, beliau masih tidak pasti keberkesanan pendekatannya itu.
“Saya belum cukup kenal pemain dan kami belum ada banyak kerjasama,” ujarnya.
“Kami tidak sabar menanti perlawanan itu, tetapi pada masa yang sama kami berasa gementar kerana tidak tahu bagaimana perlawanan itu akan berlangsung,” tambah Amorim.
Walaupun lebih ramai pemain sudah pulih daripada kecederaan, masalah akibat lama tidak bermain dapat dilihat.
Bermain buat kali pertama dalam 18 bulan, Tyrell Malacia, hanya berdaya bertahan 45 minit di posisi bek sayap, yang tuntutan fizikalnya besar.
Luke Shaw juga membuat penampilan pertamanya sejak Februari pada separuh masa kedua, menggantikan Lisandro Martinez, yang juga baru pulang daripada kecederaan yang dialami sebelum rehat antarabangsa.
Mason Mount pula memulakan perlawanan pertamanya sejak Ogos, selepas dibebani kecederaan sejak menyertai United daripada Chelsea pada awal musim 2023/24.
Namun, Amorim lega pasukannya dapat bangkit daripada ketinggalan satu gol, walaupun mereka mendahului melalui jaringan, Alejandro Garnacho, hanya 48 saat selepas perlawanan bermula.
Bodo/Glimt berjaya mendapatkan dua jaringan dalam empat minit untuk mendahului perlawanan.
Rasmus Hojlund kemudian menjaringkan gol pada minit ke-45 untuk menyamakan kedudukan sebelum separuh masa pertama berakhir dan beliau turut mendapatkan gol kemenangan United pada minit ke-50.
“Kami perbaiki beberapa perkara sejak perlawanan lalu,” kata Amorim.
“Kami mengawal rentak perlawanan, bermain dengan barisan lebih tinggi di padang dan menghasilkan lebih banyak peluang,” tambahnya.
Namun Amorim berkata ada dua peluang yang disia-siakan Garnacho dan satu lagi oleh Marcus Rashford pada separuh masa kedua.
Selepas perlawanan Ipswich, Amorim berkata Rashford tidak sesuai dengan peranan sebagai penyerang tunggal dalam sistemnya.
Persembahan Hojlund semasa menentang Bodo/Glimt lebih memberangsangkan, walaupun Amorim memberitahu media penyerang Denmark itu terlalu letih pada hujung perlawanan.
Bercakap tentang prestasi Hojlund semasa sidang media selepas perlawanan, Amorim memuji penyerang yang dibeli pada harga £72 juta ($122 juta) dari Atalanta itu, tetapi beliau juga menuntut penyerang itu membuat beberapa pembaikan.
“Beliau perlu terus perbaiki diri kerana kadangkala beliau memegang bola terlalu lama, tetapi beliau sangat penting semasa kami sedang bertahan kerana beliaulah yang akan menghubungkan pertahanan kepada penyerang,” kata Amorim. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg