ATLANTA (Amerika Syarikat): Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, mengakui pada musim lepas, beliau ke perlawanan dengan rasa bimbang tentang apakah yang bakal terjadi pada pasukannya.
Bercakap kepada pihak media semasa jelajah pramusim United di Amerika Syarikat, Amorim buat kali pertama mendedahkan betapa beratnya tekanan yang dirasainya ketika mengendalikan musim terburuk kelab itu sejak musim 1973-74.
United menamatkan saingan di tangga ke-15 Liga Perdana England (EPL) musim lalu – kedudukan terendah sejak kempen 1989-90.
Amorim, yang mengambil alih jawatan daripada Erik ten Hag pada November 2024, hanya berjaya mencatat tujuh kemenangan daripada 27 perlawanan liga – selain kekalahan dalam final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur di Bilbao.
Ditanya bagaimana perasaannya setiap kali pulang ke rumah bertemu isteri dan anak-anak selepas kekalahan demi kekalahan – termasuk ketika pasukannya tewas empat kali berturut-turut dan hanya menang tiga daripada 11 perlawanan – Amorim berkata tekanan terbesar datang sebelum perlawanan bermula.
“Secara jujur, yang paling sukar bukan ketika saya pulang ke rumah, tapi semasa saya keluar menuju ke stadium. Saya sudah dapat rasakan kami akan berdepan kesukaran,” katanya.
“Segala kesukaran yang kami alami, saya sudah boleh agak sebelum perlawanan lagi. Itu yang paling menyakitkan.
“Pergi ke perlawanan dengan rasa kami tak akan mampu bersaing... ia amat mengecewakan.”
Namun, Amorim berkata perasaan tersebut sudah berubah.
Pandangannya terhadap tugasnya kini lebih realistik, kurang ‘romantik’, dan beliau mula melihat harapan yang memberikannya semangat bahawa musim baru yang mendatang ini akan lebih baik.
Pada waktu paling sukar musim lalu, Amorim sering dikritik kerana enggan mengubah pendekatan taktikalnya.
“Kadang-kadang apabila kalah, kita akan terfikir nak longgarkan sikit standard supaya pemain rasa lebih selesa. Tapi saya tak buat begitu – dan mereka nampak itu,” jelasnya.
“Saya tak layan pemain macam budak kecil. Tapi sekarang mereka ada peraturan. Itu mengubah cara kami berlatih.
“Saya sentiasa perhatikan. Kalau ada yang tak berlatih dengan betul, saya ada rakaman untuk tunjuk. Dan saya tunjuk depan semua pemain.”
Amorim turut melantik enam pemain sebagai kumpulan pemimpin dalam bilik persalinan – Bruno Fernandes, Harry Maguire, Tom Heaton, Diogo Dalot, Lisandro Martinez dan Noussair Mazraoui – untuk menjaga tahap dan urus ‘perkara kecil’.
Amorim mengakui ada ketika beliau tertanya-tanya sama ada keputusannya meninggalkan Sporting – kelab di mana beliau disanjung sebagai wira – adalah satu kesilapan.
Beliau tidak meminta jaminan daripada pihak atasan.
Bagi Amorim, hakikat beliau masih kekal sebagai pengurus sudah cukup sebagai sokongan.
“Cuba fikirkan satu pasukan besar yang kalah sebanyak ini, tapi pengurus masih kekal. Tak banyak. Itu sendiri sudah cukup membuktikan mereka masih menyokong saya,” katanya.
Amorim turut ditanya berapa lama beliau ingin kekal di United.
“Saya nak kekal selama 20 tahun. Itu matlamat saya. Saya betul-betul percaya pada itu,” jawab Amorim
Sasaran Amorim untuk musim akan datang mudah.
“Saya tahu jurangnya besar dari kedudukan musim lalu – tapi ini Manchester United. Kami perlu kembali ke pertandingan Eropah,” kata jurulatih berusia 40 tahun itu.
Beliau juga tidak ragu-ragu dan percaya bahawa United bakal memenangi EPL dan Liga Juara-Juara semula.
“Ada perkara yang kita tak boleh beli – seperti sejarah, budaya, penyokong. Kami masih ada duit walaupun tak layak ke Liga Juara-Juara,” kata beliau.
“Dengan semua itu, kalau kami ada budaya yang betul, kami boleh kembali ke tempat sepatutnya.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg