MANCHESTER: Manchester United berjaya merasmikan pembelian Bryan Mbeumo, dengan penyerang itu menyertai kelab Old Trafford dalam perpindahan yang dilaporkan bernilai AS$95 juta ($121 juta).
Mbeumo menandatangani kontrak lima tahun bersama United, dengan pilihan melanjutkan kontrak setahun lagi.
Beliau dijangka menyertai pasukan barunya itu di Amerika Syarikat dalam latihan musim panas pramusim Liga Perdana England (EPL).
Turut dilaporkan bahawa United telah menawarkan $87 juta sebagai bayaran asas dan tambahan hampir $7 juta kepada Brentford untuk mendapatkan Mbeumo.
Brentford akhirnya bersetuju, walaupun agak berat hati, memandangkan mereka sudah kehilangan kapten, penjaga gol, penyerang utama dan pengurus mereka dalam musim perpindahan ini.
Jelas dapat dilihat United berhasrat menjadikan Mbeumo sebagai komponen penting dalam barisan serangan baru mereka bersama Matheus Cunha yang dibeli dari Wolves pada awal musim panas ini.
Dengan ketibaan Mbeumo, tumpuan United kini difahamkan beralih pada usaha mendapatkan penyerang utama baru bagi melengkapkan perubahan besar dalam barisan serangan mereka.
Pendekatan United kali ini berbeza dengan tempoh perpindahan musim lalu.
Mereka kini memberi tumpuan untuk mendapatkan pemain berpengalaman dan sedang berada dalam prestasi terbaik di EPL dari kelab yang menduduki di posisi pertengahan EPL.
Ia berbanding sebelum ini apabila United lebih cenderung membayar harga tinggi untuk pemain muda berpotensi seperti Rasmus Hojlund, Leny Yoro dan Patrick Dorgu.
Disebabkan itu, United perlu berbelanja besar untuk mendapatkan pemain yang sudah terbukti di peringkat tertinggi.
Cunha dijangka memberi kesan segera dan mampu menyumbang dengan sekurang-kurangnya menjaringkan 10 gol dan merintis lagi 10 gol bagi pasukan barunya itu setiap musim.
Mbeumo pula membawa ketajaman dari segi menyambar gol, dan terkenal dengan gaya permainan beliau memotong masuk dari sebelah kanan untuk menghuru-harakan barisan pertahanan lawan di kotak penalti.
Gabungan ketajaman serta pengalaman barisan hadapan adalah apa yang United perlukan untuk sekurang-kurangnya bersaing untuk mendapatkan kedudukan enam teratas EPL pada musim akan datang.
Ketibaan Mbeumo merupakan satu langkah besar dalam usaha membina semula United di bawah pengurus Ruben Amorim, bukan sahaja untuk musim akan datang, bahkan juga untuk jangka masa panjang.
Mbeumo tiba dengan semangat tinggi untuk membuktikan bahawa beliau layak bermain di kelab elit.
Beliau menyatakan bahawa perpindahan ke Old Trafford merupakan impian yang menjadi kenyataan baginya.
Walaupun sudah berjaya menjaringkan 20 gol musim lalu dalam EPL, Mbeumo yakin beliau mampu memberikan lebih banyak sumbangan bersama United.
“Sebaik sahaja saya tahu ada peluang untuk menyertai Manchester United, saya terus menyahut peluang ini. Ini adalah kelab impian saya... kelab yang jersinya saya pakai sejak kecil,” kata Mbeumo.
“Mentaliti saya adalah untuk sentiasa menjadi lebih baik.
“Saya yakin saya ada semangat dan perwatakan untuk mencapai ke tahap seterusnya di sini – dan belajar daripada Ruben Amorim dan bermain bersama pemain-pemain bertaraf dunia.”
Kata-katanya meyakinkan peminat bahawa beliau dan Cunha adalah pemain yang sesuai dan diperlukan oleh United – bersemangat, berkarakter dan bermutu.
Namun, bukan pemain baru sahaja yang diperlukan untuk mengubah nasib United.
Amad Diallo turut dijangka memainkan peranan penting di bahagian serangan, berkemungkinan di sebelah kiri.
Kapten pasukan, Bruno Fernandez, dijangka akan bermain di tengah padang dan beliau akan memikul tanggungjawab membuat hantaran-hantaran tepat untuk penyerang menjaringkan gol.
Gabungan Cunha, Mbeumo, Bruno dan Diallo yang bermain di belakang penyerang utama bertaraf dunia dijangka membentuk unit serangan yang berbahaya musim depan.
Sementara itu, masa depan pemain seperti Jadon Sancho, Tyrell Malacia dan Alejandro Garnacho tidak termasuk dalam perancangan Amorim.
Persoalannya kini – adakah barisan tengah dan pertahanan United cukup mantap untuk mengelak daripada dibolosi dan mengekalkan penguasaan bola bagi membolehkan penyerang mereka memainkan peranan?
Amorim kini menggalas cabaran besar untuk mengubah nasib United yang kemarau kejuaraan EPL selama 12 tahun.
United menamatkan musim lalu di tangga ke-15 – kedudukan terburuk dalam era moden kelab, hanya tiga kedudukan lebih tinggi daripada zon penyingkiran.
Mereka turut mencatatkan rekod baru yang tidak diingini – jumlah kekalahan terbanyak dan pungutan mata terendah dalam sejarah kelab itu beraksi dalam EPL.
Ketibaan Mbeumo dan Cunha bagaimanapun diharap dapat mengubah perangkaan yang mengecewakan itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg