Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bryan Mbeumo: Man Utd pilihan tepat untuk saya

Jadi sasaran utama United setelah jaring 20 gol dalam EPL musim lalu
Jul 30, 2025 | 4:11 PM
Pemain terbaru Manchester United, Bryan Mbeumo, berkongsi bahawa beliau rasa ada persamaan antara permainan catur dengan bola sepak. Beliau kini memberi tumpuan menyiapkan diri untuk berdepan dengan Arsenal bagi permulaan musim EPL 2025/26.
Pemain terbaru Manchester United, Bryan Mbeumo, berkongsi bahawa beliau rasa ada persamaan antara permainan catur dengan bola sepak. Beliau kini memberi tumpuan menyiapkan diri untuk berdepan dengan Arsenal bagi permulaan musim EPL 2025/26. - Foto REUTERS

Bryan Mbeumo tidak rasa gementar di padang, tapi lain ceritanya apabila disuruh bermain piano.

“Walaupun hanya main (piano) depan beberapa kawan di rumah, saya taklah menggigil, tapi tetap rasa macam ‘eh, ini susah juga bagi saya’,” kata pemain baru Manchester United yang bernilai 65 juta paun ($111 juta) itu.

Penyokong dapat melihat bahagian Mbeumo yang sangat berbeza daripada seorang bintang Liga Perdana England (EPL) apabila beliau ditemu bual di hotel United di Chicago semasa perlawanan pramusim.

Beliau tenang, merendah hati dan bersahaja – jauh berbeza daripada gaya permainan agresif dan bertenaga di padang.

Musim lalu, beliau menjaringkan 20 gol dalam EPL, menjadikannya sasaran utama ketua jurulatih United, Ruben Amorim, dalam usaha membentuk sistem taktikal yang berkesan.

Pemain antarabangsa Cameroon itu berkata beliau tertarik dengan projek United – walaupun ada berbincang dengan beberapa kelab lain, hatinya lebih cenderung ke Old Trafford.

Sepanjang proses rundingan yang agak panjang, beliau tetap yakin pemindahannya ke United akan berlaku kerana percaya kepada pasukan di sekelilingnya.

Semasa temu bual, apabila ditanya tentang piano dan satu lagi minatnya, permainan catur, wajah Mbeumo tiba-tiba bersinar.

“Saya belajar sendiri. Bermain piano tiada kaitan dengan bola sepak pun. Ia lebih kepada ruang untuk saya menenangkan diri dan merehatkan minda semasa waktu lapang,” kongsinya.

Mbeumo juga menyatakan beliau tahu penyerang Belanda, Joshua Zirkzee, turut meminati catur. Jadi mungkin beliau akan membawa papan caturnya untuk mencabar rakan sepasukannya itu.

Buat masa ini, kebanyakan permainan caturnya dilakukan secara dalam talian dan tanpa nama.

“Saya bukanlah hebat sangat. Kalau ikut sistem rating, saya sekitar 800 di Chess.com,” ujarnya.

Walaupun catur nampak jauh berbeza dengan bola sepak – dengan perancangan dan strategi yang kompleks – Mbeumo melihat banyak persamaannya.

Penyerang Crystal Palace dan England, Eberechi Eze, pernah memenangi 15,000 paun dalam kejohanan catur amatur, PogChamps, selama empat hari yang disertai atlet dan pencipta kandungan.

Namun bagi pemain seperti ,Eze dan Mbeumo, ganjaran bukanlah tarikan utama – sebaliknya faktor cabaran yang menarik mereka pada permainan catur.

“Catur mungkin bukan fizikal, tapi sangat memerlukan pemikiran,” kata Mbeumo.

“Dalam bola sepak, kita pun perlu berfikir. Dalam catur, kita boleh jangka beberapa langkah ke hadapan kerana ia permainan strategi. Bola sepak pun begitu – kita perlu ada pelan permainan.”

“Ia sangat baik untuk otak dan membantu kita mengembangkan kemahiran baru.”

Bekas kelabnya, Brentford, hanya dijadual kembali ke latihan seminggu selepas United, jadi Mbeumo lebih banyak berlatih di gimnasium berbanding turun padang dengan pasukan barunya.

Itulah sebabnya beliau agak ketinggalan dari segi kecergasan berbanding rakan sepasukan dan tidak diturunkan ketika kemenangan 2-1 ke atas West Ham di Stadium MetLife.

Amorim turut mengesahkan bahawa Mbeumo tidak akan diturunkan dalam perlawanan menentang Bournemouth di Chicago.

Namun, beliau mungkin akan beraksi dalam perlawanan terakhir Siri Musim Panas EPL menentang Everton di Atlanta pada 3 Ogos.

Mbeumo tenang menghadapi penantian untuk membuat penampilan sulung bersama United.

“Sasaran utama saya ialah untuk bersedia menjelang permulaan musim. Jadi saya akan terus berusaha keras,” katanya.

Perlawanan pembuka musim menentang Arsenal di Old Trafford akan diikuti dengan perlawanan menentang Fulham.

Walaupun United mempunyai rekod kemenangan yang baik di Craven Cottage (Fulham), ia terbukti tetap merupakan perlawanan mencabar selama beberapa tahun baru-baru ini bagi United. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg