Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amorim kecewa dengan mentaliti bertahan MU semasa disekat Fulham

Aug 25, 2025 | 6:41 PM
EPL, Man United, seri
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, kecewa kerana menurut beliau, pasukannya lebih fokus untuk pertahankan kelebihan mereka daripada mendapatkan gol apabila menentang Fulham. - Foto REUTERS

LONDON: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, meluahkan kekecewaannya terhadap pasukannya yang dikatanya meninggalkan prinsip permainan serangan mereka selepas mendahului Fulham.

Beliau juga berkata mentaliti bertahan mereka telah menyebabkan kemenangan terlepas dari genggaman semasa keputusan seri 1-1 pada perlawanan Liga Perdana England (EPL) di Craven Cottage, pada 24 Ogos.

United mendahului perlawanan selepas gol sendiri oleh Rodrigo Muniz, namun kelebihan itu lenyap apabila pemain gantian Fulham, Emile Smith Rowe, menyamakan kedudukan hanya 93 saat selepas dimasukkan.

“Kami sangat kompetitif semasa latihan, kami semua mahu menjaringkan gol dan menyumbang kepada pasukan,” kata Smith Rowe selepas perlawanan.

“Kami tahu apabila kami dimasukkan dari bangku simpanan, kami perlu bekerja keras dan cuba serta-merta untuk menjaringkan gol.”

Keputusan itu menyaksikan United hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan pertama musim ini.

“Kami menjaringkan gol, tetapi selepas itu seolah-olah terlupa cara permainan kami,” kata Amorim kepada media.

“Semua terlalu mahukan kemenangan, selepas gol, semua di dalam padang fikir, ‘Kita pertahankan kelebihan ini dan cuba menang’.”

“Tapi bagi saya, itu adalah masa di mana kami sepatutnya lebih menguasai permainan dan terus tingkatkan tekanan. Kami cuba beri tekanan tinggi, tapi pada masa sama kami beri mereka terlalu banyak ruang.”

Satu detik penting dalam separuh masa pertama ialah apabila kapten United, Bruno Fernandes, gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan selepas semakan Video Pembantu Pengadil (VAR).

Percubaannya melambung tinggi, jauh melepasi palang gol.

Percubaan tersebut merupakan penalti kelima yang gagal disempurnakan Fernandes sejak penampilan sulungnya dalam di EPL pada 2020.

“Saya rasa beliau tidak biasa terlepas sepakan penalti. Beliau sedar betapa besar kesannya itu kepada pasukan,” kata Amorim.

“Sepanjang perlawanan beliau nampak kecewa, mungkin kerana tidak banyak terlibat dalam permainan. Beliau memikul tanggungjawab besar, dan saya rasa beliau fikir kegagalan tersebut punca kami gagal memenangi pertarungan.”

Walaupun kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu EPL, Arsenal, Amorim tetap yakin dengan potensi pasukannya.

“Kami hanya mahu menang setiap perlawanan. Pemain tahu mereka bermain di kelab yang menuntut tahap lebih tinggi,” ujarnya.

“Saya tetap yakin kami akan raih banyak kemenangan musim ini.”

Keputusan tersebut bermakna Fulham akhirnya berjaya meraih satu mata menentang United di laman sendiri selepas sembilan perlawanan, sekali gus melonjak ke tangga ke-13 EPL dengan dua mata.

Manakala skuad kendalian Amorim kekal di tangga ke-16 – hanya dengan satu mata selepas dua perlawanan.

United mempamerkan ketangkasan untuk menang pada babak awal perlawanan apabila Matheus Cunha berjaya mengatur dua percubaan dalam dua minit pertama – satu rembatan kencang dari jarak jauh dan satu lagi percubaan yang melepasi bekas penjaga gawang Arsenal, Bernd Leno, tetapi percubaannya hanya terkena palang gol.

Namun, United akhirnya membuka tirai perlawanan pada separuh masa kedua menerusi jaringan hasil tendangan sudut.

Yoro melonjak tinggi menyambut hantaran Bryan Mbeumo dan tandukannya terkena belakang Muniz sebelum bola melantun masuk ke gawang.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama.

Marco Silva membawa masuk Emile Smith Rowe sebagai pemain gantian, dan pemain tengah itu bijak bergerak ke kotak penalti untuk menyambut hantaran silang Iwobi dan menyamakan kedudukan.

Jaringan tersebut memberi semangat kepada Fulham yang kemudiannya lebih agresif menyerang dan menekan United di kawasan mereka sendiri.

Namun, pemain pertahanan United, Harry Maguire, hampir menjadi wira apabila dimasukkan pada minit ke-87 dan melakukan tandukan dari sepakan sudut tetapi percubaannya tersasar sedikit. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg