Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amorim: Kemenangan atas City bukti pasukan lebih penting daripada individu

Pengurus baru United beri petanda paling jelas pentingnya disiplin, sikap dan komitmen dalam kejayaan pasukannya tewaskan City 2-1
Dec 16, 2024 | 2:30 PM
Keputusan 2-1 yang menyebelahi Manchester United dalam perlawanan menentang seteru mereka, Manchester City, mewajarkan langkah pengurus Rubin Amorim (gambar) menggugurkan Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho daripada skuadnya.
Keputusan 2-1 yang menyebelahi Manchester United dalam perlawanan menentang seteru mereka, Manchester City, mewajarkan langkah pengurus Rubin Amorim (gambar) menggugurkan Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho daripada skuadnya. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Setelah menggugurkan dua pemain berprofil tinggi dalam skuad – Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho – bukan hanya daripada pasukan, bahkan daripada rombongan ke Stadium Etihad, pengurus baru Manchester United, Ruben Amorim, sedar ujian yang dihadapinya.

Dua minit sebelum pertarungan dengan Manchester City berakhir, Amorim nampaknya bakal berdepan dengan keadaan yang ‘janggal’ selepas perlawanan.

Namun, seorang pemain muda mencerminkan apa yang diperlukan apabila menyarung jersi tersohor Manchester United, sekali gus merubah malam yang sukar kepada malam yang sungguh istimewa bagi Amorim.

Amad Diallo mendapatkan penalti yang membolehkan Bruno Fernandes menyamakan kedudukan.

Kemudian pemain Ivory Coast itu menyelinap ke posisi serangan daripada slot bek kanannya untuk menjaringkan gol kemenangan, dua minit kemudian.

“Saya rasa begitu,” kata Amorim, ketika ditanya sama ada beliau berasakan United layak memenangi perlawanan pertama mereka di Stadium Etihad sejak 2021.

“Kami beraksi dengan hebat dan bekerja keras. Kami yakin pada diri kami sendiri. Ia berbeza daripada (kekalahan) di Arsenal. Ketika itu, saya tidak berasakan keyakinan tersebut. Saya berasakannya hari ini.

“Amad berada dalam fasa yang baik kerjayanya. Erik (ten Hag) membawanya ke pasukan utama. Ruud (van Nistelrooy) melakukan tugas yang hebat untuk meneruskan pembangunannya.

“Sekarang kami tidak boleh membuat kesilapan yang sama yang kami lakukan pada masa lalu.”

Amorim tidak menjelaskan apakah kesilapan sebelum ini yang beliau maksudkan, sama ada berkaitan dengan Diallo atau pasukannya secara keseluruhan.

Hakikatnya, beliau tiada masa untuk memberi penjelasan.

Dalam sesi selama lapan minit dengan media, soalan utama tertumpu kepada dua pemain yang tidak berada di stadium.

Ketika United meraikan kemenangan mereka, Rashford memuat naik gambar di media sosial untuk meraikan kemenangan pasukannya dan mengucapkan tahniah kepada rakan seperjuangan.

Garnacho pula menyepi.

Kedua-dua pemain bintang itu telah berlatih di Carrington pada pagi 15 Disember tetapi tidak dipilih untuk perlawanan City.

Manchester diselubungi pelbagai khabar angin tentang sebab mereka digugurkan.

Namun, apabila beliau memberi penjelasan, Amorim berulang kali menegaskan ia bukan isu disiplin.

Semakin kata-katanya diselidiki, sukar untuk melarikan diri daripada kesimpulan bahawa ia berpunca daripada kekurangan disiplin, atau sekurang-kurangnya standard yang ‘tergelincir’.

“Minggu depan, perlawanan seterusnya, kehidupan baru,” tegas Amorim.

“Bagi saya ia penting – prestasi dalam latihan, prestasi dalam permainan, cara anda berpakaian, cara anda makan, cara anda melibatkan diri dengan rakan sepasukan anda, cara anda mendorong rakan sepasukan anda.

“Segala-galanya penting. Dalam konteks kami, pada permulaan sesuatu, apabila kami mahu mengubah banyak perkara, apabila orang dalam kelab kami kehilangan pekerjaan mereka, kami perlu menjadikan standard benar-benar tinggi.

“Hari ini pasukan membuktikan kami boleh meninggalkan sesiapa sahaja daripada skuad dan berjaya menang jika anda bermain sebagai sebuah pasukan,” tambah beliau.

Rashford adalah antara pemain dengan pendapatan tertinggi di United.

Garnacho pula seorang bintang muda.

Yang ketara, mereka berdua juga lebih gemar bermain dalam peranan penyerang di bahagian sayap, yang tidak wujud dalam pasukan berwajah baru Amorim.

Tetapi sedang Diallo telah menyesuaikan diri dengan cepat dan berkembang, ternyata Rashford dan Garnacho gagal melakukannya.

“Ia adalah perkara yang penting kerana beliau jelas melihat perkara yang beliau tidak suka, dan beliau mengambil tindakan tegas,” kata bekas kapten United, Roy Keane, kepada Sky Sports, mengulas keputusan Amorim untuk menggugurkan dua pemain bintang United itu.

“Tetapi bagi kami, ia bukanlah satu kejutan besar kerana persembahan kedua-dua pemain itu amat mengecewakan dan Amorim tidak lagi boleh bersikap toleran.

“Beliau telah meletakkan penanda. Mari kita lihat respons dua pemain ini. Kami telah bercakap tentang sikap selama beberapa tahun kebelakangan ini. Pengurus baru akan mengambil kira semua ini,” tambah Keane.

Masalah Rashford khususnya ialah terdapat isu pada masa lalu.

Pada usia 27 tahun, Rashford sepatutnya berada di puncak kerjayanya tetapi terdapat perasaan hanyut dan nampaknya Amorim bersedia menghadapinya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg