LONDON: Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, berkata jika beliau menukar susunan pasukan itu kerana tekanan media, ia akan menjadi “penamat” kerjayanya.
Amorim meninggalkan susunan kegemarannya 3‑4‑3 yang menampilkan tiga pemain di benteng pertahanan, empat di bahagian tengah dan tiga di bahagian serangan buat kali pertama ketika menentang Newcastle United.
Sebaliknya, beliau menggunakan susunan yang menampilkan empat pemain di benteng pertahanan dan dua pemain tengah yang membantu pertahanan.
Menurut pengakuannya sendiri, pasukannya bertukar kepada susunan enam pemain pertahanan pada penghujung perlawanan untuk mengekalkan kemenangan – ini juga hanya kali kedua musim ini gawang United tidak dibolosi.
Meskipun Amorim pernah terkenal dengan kata-kata: “Paus sekalipun tidak dapat mengubah (susunan saya)”, beliau menegaskan bahawa kemampuan bermain dengan susunan berbeza sentiasa menjadi sebahagian daripada rancangan beliau.
Namun, pertukaran susunan hanya boleh dibuat apabila pasukannya sedang bermain dengan baik – jika tidak, ia akan kelihatan seolah-olah beliau tunduk kepada tekanan luar, jelas Amorim.
“Apabila saya tiba di sini musim lalu, saya faham mungkin saya tidak mempunyai pemain yang sesuai untuk bermain dalam sistem itu, tetapi ia adalah permulaan satu proses,” katanya.
“Kami cuba membina identiti (pasukan). Hari ini adalah detik yang berbeza. Kami tidak mempunyai ramai pemain, kerana itu kami perlu menyesuaikan diri supaya mereka faham sebab susunan diubah.
“Ia bukan kerana tekanan daripada anda semua (media), atau penyokong.
“Apabila anda (media) sentiasa bertanya mengenai penukaran sistem, saya tidak boleh menukar kerana pemain akan fikir bahawa saya menukar kerana anda, dan saya rasa itu adalah penamat (kerjaya) bagi seorang pengurus.
“Apabila kami bermain dengan baik dalam sistem kami, itulah masa yang sesuai untuk membuat perubahan.”
Dengan hanya dua kemenangan dalam lapan perlawanan sebelum menewaskan Newcastle, sukar untuk bersetuju dengan kenyataan Amorim bahawa pasukannya menunjukkan prestasi permainan yang baik.
Namun, beliau sedang mengendalikan skuad yang tidak sempurna – dengan tujuh pemain senior disahkan tidak dapat bermain dalam perlawanan di padang sendiri menentang Wolverhampton Wanderers, yang masih belum meraih sebarang kemenangan.
Bilangan tersebut akan bertambah jika Mason Mount belum pulih daripada kecederaan yang memaksanya keluar pada separuh masa pertama perlawanan menentang Newcastle.
Selain itu, Kapten Bruno Fernandes antara pemain yang akan terlepas perlawanan menentang Wolves.
Ini meskipun beliau mendesak pengurusnya supaya membenarkannya kembali beraksi selepas mengalami kecederaan di hamstring dalam kekalahan 1-2 kepada Aston Villa pada 21 Disember.
“Bruno sudah berkata beliau perlu berlatih,” ujar Amorim.
“Tetapi beliau tidak mungkin bermain menentang Wolves. Tidak mungkin.”
Namun, pemain berusia 31 tahun itu dijangka masih terlibat secara aktif, kerana sebilangan besar pemain yang cedera atau digantung biasanya menonton perlawanan daripada ruang khas pengurus atau peribadi.
Fernandes juga dilihat memerhati sesi memanaskan badan pasukan sebelum perlawanan menentang Newcastle dari hujung terowong.
Amorim menjangka kaptennya itu akan terus memberi pandangan kepada pasukan.
Walaupun tarikh sebenar untuk Fernandes serta Kobbie Mainoo, Matthijs de Ligt dan Harry Maguire kembali beraksi masih belum diketahui, menjelang akhir Januari, Noussair Mazraoui, Amad Diallo dan Bryan Mbeumo dijangka pulang daripada Piala Negara-Negara Afrika (Afcon). – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg