Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amorim tekan pentingnya bagi Man U kembali aksi dalam Liga Juara-Juara

Pengurus harap kejayaan julang Piala Europa akan ‘bantu kami kembali ke puncak dengan lebih pantas’
May 15, 2025 | 2:36 PM
Man U, Liga Europa, bola sepak
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, berkata Liga Europa musim ini lebih penting daripada Liga Perdana England (EPL) bagi United. Ramai penyokong yang sependapat kerana kemenangan Liga Europa merupakan satu-satunya jalan bagi United untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan. - Foto AFP

LONDON: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, percaya untuk kembali ke Liga Juara-Juara merupakan perkara yang lebih penting daripada meraih trofi pertama beliau bersama United ketika mereka berdepan Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa.

Kemenangan di Bilbao pada 21 Mei akan memberikan peluang dan laluan kepada salah satu gergasi bola sepak Inggeris yang mendapati sukar untuk kembali ke Liga Juara-Juara pada musim depan berdasarkan prestasi dan kedudukan mereka di Liga Perdana England (EPL).

United dan Tottenham berada di luar zon penyingkiran EPL dan pasukan yang kalah akan terlepas peluang bertanding dalam pertandingan kelab elit Eropah musim depan.

Bagi United, kelayakan ke Liga Juara-Juara dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya £70 juta ($120 juta), sekali gus dapat memberi Amorim lebih banyak sumber untuk membina semula pasukannya.

“Bagi saya, Liga Juara-Juara lebih penting,” jelas Amorim menjelang lawatan ke Chelsea bagi satu perlawanan EPL pada 16 Mei.

“Untuk semuanya, dan untuk mempersiapkan kami bagi musim depan. Kami sepatutnya berada dalam Liga Juara-Juara. Di sini, Liga Europa tidak cukup, dan anda perlu rasakannya di sini.

“Cara terbaik untuk membantu kami kembali ke puncak dalam beberapa tahun adalah melalui Liga Juara-Juara. Ia bukan soal gelaran atau trofi.

“Perkara yang paling penting adalah bagaimana trofi ini (Liga Europa) boleh membantu kami kembali ke puncak dengan lebih pantas.”

Perjalanan dramatik United ke final telah menyelamatkan permulaan yang sukar bagi Amorim di Old Trafford.

Sejak mengambil alih pada November 2024, beliau hanya memenangi enam daripada 25 perlawanan EPL.

Jurulatih asal Portugal itu sangat tegas dalam menilai pasukannya, termasuk menggelar mereka sebagai pasukan United yang paling buruk dalam sejarah kelab.

Namun, beliau menolak cadangan bahawa beliau mungkin meletak jawatan jika United menamatkan musim yang ingin dilupakan itu dengan kekalahan kepada Spurs di Sepanyol.

“Itu kerana saya mempunyai idea yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan.

“Saya faham masalah pasukan, jadi saya jauh daripada mahu berhenti.

“Apa yang saya katakan adalah kita perlu bermain dengan lebih baik. Pada masa depan, kita perlu bermain dengan baik atau mereka akan menggantikan kita.”

Amorim turut mengesahkan laporan beliau akan membantu membiayai perjalanan keluarga kakitangan United untuk menyokong mereka di peringkat akhir Liga Europa menentang Spurs.

United telah membuat pemotongan pembelanjaan besar di luar padang sejak Jim Ratcliffe mendapatkan pegangan minoriti dalam kelab itu dan ini termasuk 250 pemecatan kakitangan dan mungkin 200 kakitangan akan menghadapi nasib yang sama.

Jutawan British itu tidak bersedia untuk membayar kos tambahan walaupun peringkat akhir itu merupakan acara yang besar bagi United, terutama dalam musim ini.

Menurut Amorim, suasana negatif telah memainkan peranan dalam kesukaran yang dihadapi United musim ini, tetapi Liga Europa memberikan peluang untuk memberi suntikan semangat yang sangat diperlukan.

“Kami telah mengalami banyak keputusan buruk dalam Liga Perdana, jadi suasananya agak sukar pada masa ini.

“Tetapi saya menjamin bahawa apabila kami sudah mempersiapkan untuk perlawanan Liga Europa, suasananya sedikit berbeza dan anda dapat rasakan keghairahannya.”

Amorim masih belum lagi pasti tentang kesebelasan pasukannya bagi peringkat akhir pada 21 Mei, dengan Leny Yoro, Diogo Dalot, Matthijs de Ligt dan Ayden Heaven kesemuanya kemungkinan tidak akan bermain akibat kecederaan.

Mereka disahkan tidak akan bermain dalam perlawanan liga menentang Chelsea. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg