LONDON: Pengurus sementara Manchester United, Ruud van Nistelrooy, akui ‘ketajaman’ Amad Diallo memainkan peranan penting dalam mengubah permainan United untuk menjadi lebih baik.
Pemain sayap itu menjaringkan kededua gol kemenangan 2-0 ke atas pasukan Greece, PAOK, di Old Trafford dalam Liga Europa pada 7 November.
Dengan kemenangan pertama dalam Liga Europa pada musim ini, Nistelrooy membuktikan dapat melangkaui pencapaian bekas pengurus United, Erik ten Hag, yang dipecat pada 28 Oktober lalu.
Nistelrooy, yang berasal dari Belanda ialah bekas penyerang United, akan memberi laluan kepada pengurus baru United yang diumumkan baru-baru ini, Ruben Amorim, pada 11 November.
“Perlawanan dalam separuh masa pertama agak mengecewakan dalam separuh masa kedua, kami jelas menunjukkan prestasi yang lebih baik,” kata Nistelrooy.
“Amad merubah perlawanan dengan jaringannya.... beliau membuktikan ketajamannya di hadapan gawang lawan.
“Syabas kepadanya... beliau telah beraksi dengan cemerlang,” puji Nistelrooy.
United seri dalam tiga aksi awal Liga Europa, tetapi tandukan melambung Amad ke penjuru gawang hasil hantaran lintang Bruno Fernandes lima minit selepas rehat mengubah pertarungan.
Kelab Greece itu mempunyai peluang untuk meraih sesuatu daripada permainan itu, namun penjaga gol United, Andre Onana, berjaya menepis bola percubaan Mady Camara melepasi palang pada separuh masa pertama.
PAOK mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-64, tetapi rembatan Taril Tissoudali dari jarak dekat terlalu lemah untuk menewaskan Onana sebelum Amad muncul dengan gol keduanya bagi menjamin kemenangan United 13 minit sebelum tamat.
Kali ini beliau bertindak sendirian, mengatasi Baba Rahman dan cabaran beberapa pemain pertahanan untuk sampai ke tepi padang sebelum melepaskan sepakan melencong yang tepat ke gawang PAOK.
Kemenangan itu menempatkan United di tangga ke-15 dalam kedudukan Liga Europa dengan enam mata daripada empat perlawanan.
“Sudah lama sejak kami menang di Eropah. Hari ini kami membuktikan bahawa kami adalah salah sebuah pasukan terbaik. Kemenangan ini sangatlah penting,” kata Amad kepada TNT Sports.
“Adalah penting untuk menjaringkan gol setiap kali anda diturunkan. Musim ini saya kurang bernasib baik, jadi saya gembira dapat menjaringkan dua (gol)... namun perkara yang paling penting ialah pasukan kami menang.”
Sementara itu, Tottenham Hotspur mengalami kekalahan pertama mereka dalam Liga Europa musim ini di padang Galatasaray, dengan pengurus Ange Postecoglou menyalahkan aksi mengecewakan anak didiknya dalam permainan separuh masa pertama.
Spurs tiba ke Istanbul menyusuli tiga kemenangan daripada tiga perlawanan, tetapi mendapati mereka ketinggalan 1-3 dalam separuh masa pertama sebelum akhirnya tewas 3-2 di tangan pasukan tuan rumah.
Gol pertama Spurs dijaringkan oleh Will Lankshear dan Dominic Solanke manakala Galatasaray pula merebut mata penuh menyusuli jaringan Yunus Akgun dan dua gol daripada Victor Osimhen.
“Jelas sekali, keputusan yang mengecewakan... kami gagal bermain dengan baik dalam separuh masa pertama,” kata Postecoglou.
“Kami kerap kehilangan bola... ia memudahkan pasukan lawan... amat mengecewakan,” ujar Postecoglou.
Spurs, yang berada di tangga ketujuh, dihukum kerana gagal bertahan dengan baik menentang sebuah pasukan yang mempunyai barisan penyerang berbakat seperti Mauro Icardi, Dries Mertens dan khususnya Osimhen.
“Mereka memiliki beberapa pemain yang handal di bahagian atas dan kami gagal membendung mereka... akhirnya kami harus menanggung akibatnya,” tambah Postecoglou.
Dalam Liga Konferensi pula, Chelsea menumpas pasukan Armenia, FC Noah, 8-0 di Stamford Bridge untuk kekal di kedudukan teratas, dengan Joao Felix dan Christopher Nkunku kedua-duanya menjaringkan dua gol. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg