MANCHESTER: Mason Mount mula mempamerkan bakatnya setelah melalui 20 bulan yang penuh mengecewakan dengan dua gol hebat di separuh masa kedua menentang Athletic Bilbao dalam perlawanan separuh akhir Liga Europa pada 8 Mei.
Jaringan beliau membantu United mara ke final Liga Europa di mana mereka akan menentang Tottenham Hotspur, satu lagi kelab Liga Perdana England (EPL), di Bilbao pada 21 Mei (22 Mei, waktu Singapura).
Suasana di Old Trafford agak tegang dan penyokong United mula berasa resah melihat pasukan mereka diasak Bilbao walaupun mereka mempunyai kelebihan tiga gol daripada perlawanan separuh akhir pertama.
Namun, Mount bangkit tepat pada waktunya. Dibelenggu kecederaan demi kecederaan sejak menyertai United dari Chelsea dengan nilai £55 juta ($94 juta) pada 2023, pemain antarabangsa England itu hanya membuat 10 penampilan dalam kesebelasan utama United di EPL.
Tetapi selepas hanya 10 minit berada dalam padang, Mount menerima hantaran Leny Yoro dengan baik di dalam kotak penalti Bilbao dan melepaskan rembatan untuk membuka tirai jaringan untuk United.
Casemiro dan Rasmus Hojlund kemudian menambah jaringan untuk menjamin tempat United dalam final Liga Europa.
Namun, Mount belum berpuas hati – kali ini melepaskan rembatan jarak jauh selepas tendangan lemah penjaga gawang Bilbao, Julen Agirrezabala, jatuh ke kakinya.
Gol tersebut menyempurnakan kemenangan United dan memastikan rekod tanpa kalah mereka dalam kempen Eropah berkekalan.
Keputusan itu mungkin agak kejam buat Bilbao, yang bermain dengan baik awal perlawanan, di mana mereka berjaya mendahului perlawanan hasil jaringan jarak jauh yang cantik dari Mikel Jauregizar.
Namun, semua itu tidak penting bagi penyokong United apabila wisel penamat ditiup – mereka kini mempunyai peluang menebus musim yang mengecewakan di EPL.
United kini akan beraksi dalam final kejuaraan Eropah kesembilan mereka, dan dari segi impak jangka pendek, ini mungkin yang paling penting.
Kemenangan ke atas Spurs boleh menjana sekurang-kurangnya £100 juta menerusi kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Sebaliknya, kekalahan akan menonjolkan betapa mengecewakan prestasi mereka musim ini, khususnya dalam liga domestik.
Namun, United mempamerkan ciri-ciri memberangsangkan dalam perlawanan tersebut.
Selain dua jaringan Mount, Casemiro menghasilkan persembahan terbaik sejak ketibaannya dari Real Madrid pada 2022 – yang berlaku selepas United gagal mendapatkan Frenkie de Jong dari Barcelona.
Manakala Amad Diallo kembali kelihatan tajam, dan Hojlund mula menemui rentak jaringan beliau dengan menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan.
Namun, terdapat juga masalah yang membimbangkan.
Harry Maguire melakukan kesilapan besar yang membolehkan Bilbao membuka jaringan, dan Alejandro Garnacho mensia-siakan peluang keemasan pada separuh masa pertama.
Kesilapan-kesilapan seperti itu bakal menghantui United, dan Amorim hanya boleh berharap ia tidak berulang ketika menentang Spurs.
Spurs mara ke peringkat akhir selepas menewaskan pasukan Norway, Bodo/Glimt, dengan agregat 5-1.
Mereka memburu kejuaraan Eropah pertama mereka dalam tempoh 41 tahun, dan mereka pasti yakin mampu melakukannya – lebih-lebih lagi setelah menewaskan United tiga kali musim ini.
Mereka menang 3-0 di Old Trafford, 1-0 di stadium sendiri dalam EPL, dan sekali lagi menang 4-3 dalam saingan Piala Liga. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg