SEATTLE: Amy Yang dari Korea Selatan menamatkan tanda tanya berkenaan prestasinya dengan merangkul gelaran Major pertamanya, yang lama ditunggu-tunggu, pada 23 Jun.
Yang bertahan hingga saat-saat akhir untuk menjuarai Kejohanan PGA Wanita dengan kelebihan tiga pukulan dalam penampilan Major ke-75 beliau.
Beliau mencatat par 72 di padang Sahalee Country Club di Sammamish, Washington, Amerika Syarikat.
Yang membawa pulang hadiah utama AS$1.56 juta ($2.1 juta), sementara rakan senegaranya Ko Jin-young, Miyu Yamashita dari Jepun dan Lilia Vu dari Amerika berkongsi tempat kedua.
“Saya tidak boleh berkata-kata sekarang,” ujar Yang.
“Kesemua empat pusingan memang sukar, tetapi saya telah melakukan yang terbaik.”
Mengulas, pesaingnya Vu berkata: “Saya tahu beliau seorang pemain yang sangat mantap dan tahu cara untuk menang.
“Jelas sekali ia berkesan untuknya dan beliau bermain dengan begitu baik, jadi tahniah kepadanya.”
Yang, pemain nombor 25 dunia yang tersenarai sebagai pemain 10 terbaik, atau Top 10 Major, dalam 21 kejuaraan tanpa menikmati kemenangan, memenangi Major pertamanya dalam musim Jelajah LPGA ke-17 pada usia 34 tahun.
“Saya sentiasa mahu memenangi Major dan saya begitu hampir memenanginya buat beberapa kali namun kecewa.
“Justeru, saya mula ragu-ragu sama ada saya akan memenangi kejuaraan Major sebelum saya bersara. Jadi saya sangat gembira impian saya menjadi nyata,” tambah Yang.
Naib juara dua kali Terbuka Amerika itu memenangi gelaran LPGA kelima dan terbarunya pada Kejohanan Jelajah pada November 2023. Ia kejayaan pertamanya di Amerika.
Walaupun mendahului pada lewat perlawanan, Yang berdepan detik-detik penuh tekanan pada awal perlawanan.
Beliau membuat bogey tiga pukulan, sekali gus mengurangkan mata pendahuluannya kepada lima pukulan.
Selepas kumpulannya diberi amaran masa, Yang melepaskan pukulan tee yang tersasar ke dalam air pada par 3 ke-17 dan mencatatkan double bogey, mengurangkan kelebihannya kepada tiga pukulan ke atas Ko dan Vu.
Yang akhirnya menjamin kemenangannya pada par 5 ke-18 dengan pukulan put berganda.
Memulakan permainan dengan mendahului dua pukulan ke atas Yamashita dan Hartlage, Yang membuka tirai permainan dengan birdie sebelum mencatatkan bogey pada pusingan ketiga dan kemudian birdie pada par 3 kelima.
Yamashita membenam birdie sejauh enam kaki pada pukulan kedua untuk kekal dalam jarak dua daripada Yang. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg