“Saya bangkit semula!”

Selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar Portugal 5-0 ke atas Uzbekistan, Cristiano Ronaldo menatap kamera televisyen dan melaungkan mesej penuh cabaran kepada mereka yang menganggapnya beban kepada Portugal di Piala Dunia 2026.

Pemain berusia 41 tahun itu jelas tidak dapat menahan perasaan dan kegembiraannya ketika meraikan sejarah sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.

Ia juga jawapan terbaik kepada pengkritik yang menganggap zaman kegemilangannya sudah berakhir.

Ronaldo dikritik selepas Portugal seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo dalam perlawanan pembukaan Kumpulan K, ketika bintang lain seperti Lionel Messi (Argentina), Kylian Mbappe (Perancis), Erling Haaland (Norway), Vinicius Jr (Brazil) dan Harry Kane (England) mencuri perhatian pada minggu awal kejohanan.

Namun, Ronaldo akhirnya menyerlah.

Beliau membuka jaringan seawal minit keenam menerusi separa voli hasil hantaran pemain pertahanan Portugal, Joao Cancelo, sebelum menambah gol kedua menerusi penyudah kemas selepas menerima hantaran pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes.

Pertahanan Uzbekistan, Abdukodir Khusanov, menghalang Ronaldo daripada mencatat hatrik menerusi satu tindakan menyelamatkan bola di garisan gol, dan walaupun Portugal terus mengasak pada separuh masa kedua, kapten mereka gagal memperoleh gol ketiga yang diinginkannya.

Apabila ditanya mengenai laungan kebangkitannya selepas perlawanan, pemenang Ballon d’Or lima kali itu berkata ia dibuat “supaya mereka tidak lupa” apa yang telah dilakukannya selama 23 tahun.

“Saya sangat gembira tetapi perkara paling penting ialah usaha pasukan dan keyakinan yang diperoleh daripadanya,” kata Ronaldo.

“Rekod peribadi memang menggembirakan, namun matlamat saya sentiasa membantu pasukan mencapai sasarannya.”

“Kami melalui minggu yang sukar dan menerima banyak kritikan, tetapi pasukan bekerja dengan baik dan kami bangkit.”

Portugal akan bertemu Colombia dalam perlawanan terakhir Kumpulan K pada 28 Jun bagi menentukan juara kumpulan yang mara ke pusingan seterusnya.

Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, memuji Ronaldo kerana membantu menaikkan semangat pasukan selepas keputusan seri yang mengecewakan menentang Republik Demokratik Congo.

“Kami tidak mendapat keputusan yang diinginkan dan menerima kritikan yang tidak adil,” katanya.

“Kami marah dan kecewa, tetapi berkembang sebagai satu pasukan, mengatasi emosi dan memberikan yang terbaik.

“Cristiano ialah kapten yang sempurna dan mempunyai tumpuan baik. Beliau menggunakan pengalamannya untuk membantu pasukan mengatasi tekanan.”

“Kapten kami ialah satu ikon. Beliau bermain dalam Piala Dunia keenamnya.

“Beliau ialah teladan yang bermain untuk pasukan kebangsaan Portugal, bekerja keras setiap hari, berusaha memperbaiki diri dalam setiap sesi latihan serta menunjukkan sikap yang hebat di atas padang dan juga di bilik persalinan.”

Bekas rakan sepasukan Ronaldo di Manchester United, Wayne Rooney, berkata:

“Menjaringkan dua gol di Piala Dunia pada usia 41 tahun adalah menakjubkan.

“Beliau menerima kritikan dan membalasnya seperti yang selalu dilakukannya sepanjang kerjayanya. Beliau sentiasa mahu menjadi yang terbaik.”

“Beliau mementingkan diri dalam keinginannya menjadi yang terbaik, tetapi tetap seorang pemain berpasukan. Melihat Messi malam tadi dan Ronaldo pada usia mereka sekarang, apa yang mereka lakukan sungguh luar biasa.”

Ronaldo dan Messi telah beraksi dalam setiap Piala Dunia sejak 2006.

Messi memiliki 18 gol, termasuk dua gol menentang Austria yang menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman, berbanding 10 gol Ronaldo.

Namun, penyerang Argentina itu gagal menjaringkan gol dalam edisi 2010.

Ketika Messi menyambut ulang tahun ke-39 pada 24 Jun, Ronaldo muncul sebagai penjaring kedua tertua dalam sejarah Piala Dunia, di belakang Roger Milla dari Cameroon yang menjaringkan gol menentang Russia pada 1994 ketika berusia 42 tahun.

Selain dua gol Ronaldo, Portugal turut menjaringkan gol menerusi pertahanan Portugal, Nuno Mendes; gol sendiri oleh penjaga gol Uzbekistan, Abduvohid Nematov; dan penyerang Portugal, Rafael Leao.

Jurulatih Uzbekistan, Fabio Cannavaro, berkata Ronaldo masih berada pada tahap tertinggi walaupun berusia 41 tahun.

“Beliau masih dahaga untuk berjaya.

“Jika anda memberinya sedikit ruang dalam kotak penalti, anda akan dihukum,” katanya.

“Anda tidak lupa cara bermain bola sepak. Beliau adalah sebahagian sejarah Piala Dunia.

“Bola sepak bukan lagi milik Eropah semata-mata, tetapi seluruh dunia. Tiada lagi batasan atau sempadan. Cristiano masih antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak. Beri dia ruang satu sentimeter dalam kotak penalti, dan anda dihapuskan.”

Ronaldo menjadi pemain pertama, yang menjaringkan gol dalam enam Piala Dunia berbeza. Messi, Marta dari Brazil dan Christine Sinclair dari Canada ialah satu-satunya pemain lain yang pernah menjaringkan gol dalam lima edisi.

Ronaldo juga pemain ketiga yang menjadi penjaring termuda dan tertua bagi negaranya di Piala Dunia, dalam kalangan negara yang mempunyai lebih daripada seorang penjaring, selepas Michael Laudrup bagi Denmark dan Messi bagi Argentina.

Penampilannya menentang Uzbekistan merupakan penampilan ke-24 Ronaldo di Piala Dunia. Hanya Messi (28) dan Lothar Matthaus (25) mempunyai lebih banyak penampilan. Ronaldo kini menyamai Miroslav Klose dan mengatasi Paolo Maldini (23).

Ronaldo dan Messi turut berkongsi rekod jurang masa paling panjang antara gol pertama dan terakhir seorang pemain dalam sejarah Piala Dunia, iaitu 20 tahun 11 hari.