Topik diikuti
Pergi ke BHkuNeymar dijangka buat penampilan sulung lawan Scotland
Neymar dijangka buat penampilan sulung lawan Scotland
Korea S perlu atasi Afrika S untuk jamin tempat di pusingan 32
Neymar dijangka buat penampilan sulung lawan Scotland
NEW JERSEY (Amerika Syarikat): Neymar mungkin membuat penampilan pertamanya di Piala Dunia 2026 dalam perlawanan Brazil menentang Scotland pada 24 Jun (25 Jun waktu Singapura).
Namun, jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, perlu mempertimbangkan sama ada penyerang itu cukup cergas untuk kembali selepas kecederaan betis yang menghalangnya daripada bermain dalam pertandingan dunia itu setakat ini.
Pemain berusia 34 tahun itu, yang dipanggil semula oleh Ancelotti selepas hampir tiga tahun berjauhan daripada pasukan kebangsaan, masih belum bermain dalam kejohanan itu selepas mengalami kecederaan berkenaan lebih lima minggu lalu.
Ketiadaannya daripada dua perlawanan pembukaan kumpulan Brazil menentang Maghribi dan Haiti hanya meningkatkan azam pemain yang kerjayanya telah merosot sejak kecederaannya itu.
Neymar kali terakhir bermain untuk Brazil pada 2023, apabila beliau mengalami kecederaan lutut serius semasa menentang Uruguay dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Sejak itu, Neymar telah diketepikan selama 650 hari akibat rentetan kecederaan yang dialaminya semasa bermain di Arab Saudi, dan kemudian di Brazil untuk kelab Santos pada 2025 dalam usaha menghidupkan semula kerjayanya.
Kemunculan semulanya itu tergugat dek kecederaan selanjutnya dan sekali gus menjejas prestasinya.
Pada 2026, Neymar telah menjaringkan enam gol dan menghasilkan empat bantuan gol dalam 15 perlawanan.
Tetapi beliau tidak pernah bermain lebih daripada empat perlawanan berturut-turut sejak kembali daripada pembedahan lutut pada Februari lalu.
Selepas terlepas perlawanan menentang Maghribi dan Haiti, Neymar menyambung semula latihan penuh minggu lalu.
Brazil kini mendahului Kumpulan C dengan empat mata di hadapan Maghribi berdasarkan perbezaan gol. Scotland di tempat ketiga dengan tiga mata.
Brazil akan mara ke pusingan 32 kumpulan terbaik jika pasukan itu menang atau seri menentang Scotland, dan Maghribi gagal menewaskan Haiti.
Sementara itu, Afrika Selatan dan Korea Selatan bakal bertarung dalam pertembungan Kumpulan A Piala Dunia di Monterrey pada 24 Jun (25 Jun waktu Singapura).
Mexico, yang akan menentang Republik Czech di Bandar Mexico pada masa yang sama, telah pun menjamin tempat teratas dalam kumpulan selepas menewaskan Afrika Selatan dan Korea Selatan.
Korea Selatan, yang mempunyai tiga mata selepas menewaskan Czech pada hari pembukaan kejohanan, berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding Afrika Selatan, yang mempunyai satu mata selepas satu penalti lewat membantu pasukan itu seri dengan Czech di Atlanta pada 18 Jun.
“Memandangkan ini perlawanan terakhir, kami mesti menang untuk mara ke pusingan seterusnya,” kata jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo, selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Mexico. – Reuters.
Jadual perlawanan 25 Jun (waktu Singapura)
Kumpulan B
- Switzerland lawan Canada (3 pagi)
- Bosnia dan Herzegovina lawan Qatar (3 pagi)
Kumpulan C
- Maghribi lawan Haiti (6 pagi)
- Scotland lawan Brazil (6 pagi)
Kumpulan A
- Afrika Selatan lawan Korea Selatan (9 pagi)
- Czechia lawan Mexico (9 pagi)
