Peranan Jude Bellingham di Real Madrid tidak akan berubah berikutan ketibaan Kylian Mbappe, tegas pengurus Carlo Ancelotti.
Pemain midfield England, Bellingham, 21 tahun, memainkan peranan penting bagi pasukan Sepanyol itu dalam musim pertamanya, dengan menjaringkan 23 gol dalam 42 perlawanan, sekali gus membantu Real memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara.
Penyerang Perancis Mbappe, 25 tahun, menyertai Real secara percuma dari Paris St-Germain setelah kontraknya dengan pasukan Ligue 1 itu tamat musim panas ini.
Ancelotti menafikan Bellingham akan memainkan peranan yang lebih defensif untuk memberi ruang kepada Mbappe.
“Tiada apa-apa yang berubah bagi Jude. Tiada apa-apa yang berubah,” ujar beliau, dalam wawancara dengan BBC.
“Musim pertama, beliau telah menunjukkan kualiti hebat, seorang individu yang sangat matang. Musim depan tidak akan berbeza.
“Beliau akan terus menjadi salah seorang pemain terbaik yang kami ada, menyokong pasukan dengan kualitinya,” tambah Ancelotti.
Jurulatih asal Italy itu juga memberi sokongan kepada Bellingham selepas kritikan terhadap persembahannya di kejohanan Euro 2024, dengan England berjaya mara ke final namun tewas di tangan Sepanyol.
“Ini adalah pendapat tetapi Bellingham bermain sangat baik di Euro.
“England bermain dengan sangat baik, mereka mara ke final dan hampir memenanginya. Saya tidak rasa ada pemain yang terlalu letih untuk perlawanan seperti itu.
“Pemain elit dunia sudah biasa bermain setiap tiga hari, mereka mampu melakukannya dengan sangat baik, tanpa sebarang masalah,” ujar beliau lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg