MADRID: Pemain bola sepak midfield Croatia, Luka Modric, telah menandatangani kontrak setahun lagi dengan Real Madrid, melanjutkan penglibatannya dengan kelab yang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu sehingga 2025, kata kelab tersebut dalam satu kenyataan pada 18 Julai.
Modric, 38 tahun, memenangi anugerah Ballon d’Or pada 2018 selepas dipilih sebagai pemain terbaik di dunia.
Beliau juga memenangi trofi Liga Juara-Juara keenam dan trofi La Liga keempat bersama Real Madrid pada musim yang sama.
Sebelum ini, kontrak Modric luput pada akhir musim 2023-34 tetapi warga Croatia itu berkata beliau akan kembali ke Bernabeau semasa kelab itu meraikan kejayaan Liga Juara-Juara Eropah, kemenangan yang melanjutkan rekod kemenangan Real ke 15 Piala Eropah.
Tiada pemain telah memenangi lebih banyak kejuaraan di Real berbanding Modric, yang telah menjulang 26 trofi sejak menyertai kelab itu pada 2012.
Pemain mapan itu dijangka mengumumkan persaraannya di akhir musim lalu, mengikuti jejak rakan sepasukan dan rakan sejawatan midfield di Real, Toni Kroos, 34 tahun.
Namun Modric berkata beliau masih ingin beraksi di peringkat kelab.
Beliau juga berkata masih mahu beraksi di arena antarabangsa, walaupun penglibatannya dengan Croatia di Kejohanan Eropah 2024 berakhir dengan kekecewaan, apabila Croatia tersingkir di peringkat kumpulan.
“Tentu sekali saya ingin bermain bola sepak selama-lamanya.
“Namun tentu sekali juga, akan tiba masanya apabila saya perlu bersikap jujur kepada diri saya sendiri dan berhenti bermain. Namun, sehingga saat itu tiba, saya akan terus beraksi,” kata Modric, yang telah mewakili Croatia 178 kali. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg