LILLE (Perancis): Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, berkata pasukannya wajar dikritik selepas rekod tanpa kalah mereka berakhir di tangan Lille 0-1 dalam aksi Liga Juara-Juara pada 3 Oktober.
“Jujur saya katakan. Kritikan terhadap kami untuk perlawanan ini adalah adil dan tepat dan kami perlu menerimanya. Kami tidak bermain dengan baik dalam perlawanan ini,” kata Ancelotti.
Kekalahan Real Madrid tiba melalui jaringan penalti, Jonathan David, sebelum separuh masa.
Ini merupakan kekalahan pertama Real dalam 37 perlawanan dalam semua pertandingan sejak Januari dan yang pertama dalam Liga Juara-Juara sejak tewas kepada Manchester City pada separuh akhir pada Mei 2023.
“Perkara ini tidak sering berlaku kepada kami kebelakangan ini.
“Lawan kami bermain dengan lebih baik daripada kami dan mereka layak untuk menang,” kata Ancelotti mengenai pasukannya yang menewaskan Borussia Dortmund di peringkat akhir musim 2023-24.
Ancelotti mengetepikan kebimbangan mengenai kesan yang akan timbul berikutan kekalahan dalam format baru Liga Juara-Juara yang kini menampilkan 36 pasukan kesemuanya dalam satu kumpulan.
Madrid menewaskan VfB Stuttgart 3-1 dalam perlawanan pembukaan mereka pada 18 September dan kini menyertai pasukan seperti Barcelona, Paris Saint-Germain, Bayern Munich dan Atletico Madrid yang tewas satu daripada dua perlawanan pertama mereka.
Lapan pasukan teratas dalam kedudukan selepas setiap pasukan bermain lapan perlawanan akan mara terus ke pusingan 16 terakhir.
Baki tempat dalam 16 terakhir akan diambil oleh pemenang play-off antara pasukan yang menduduki tempat kesembilan hingga ke-24.
Perlawanan Real Madrid menentang Dortmund pada 23 Oktober akan menyaksikan Jude Bellingham menentang pasukan lamanya.
Pemain tengah itu juga berharap prestasinya akan meningkat berbanding permulaan musim ini.
“Beliau bermain di kedudukan yang sama seperti musim lalu, tetapi tanpa kejayaan di sampingnya seperti musim lalu,” kata Ancelotti mengenai calon Ballon d’Or musim lalu, Bellingham, yang dilayangkan kad kuning pada separuh masa kedua.
“Ini bukan malam yang baik. Jangan cari alasan. Kami hanya perlu perbaiki prestasi kami, itu sahaja,” tambah Ancelotti.
Jurulatih Lille, Bruno Genesio, mengakui berasa gembira berjaya membimbing pasukannya mendapatkan salah satu keputusan terbaik kelab itu dalam saingan Eropah.
“Ini merupakan persembahan yang sangat hebat daripada semua orang dan ganjaran yang indah untuk kelab dan penyokong kami.
“Ini menunjukkan apa yang kami mampu lakukan tetapi sekarang kami perlu terus raih kemenangan daripada kejayaan ini,” tambah beliau. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg