Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ange sibuk persiap Spurs, sifatkan gandingan Kane-Son makin bisa

Pengurus baru akui masih banyak perlu dilakukan sedang pemain kini ‘keluar masuk’
Jul 24, 2023 | 5:31 PM
TONJOL KEYAKINAN: Pengurus Spurs, Ange Postecoglu, memenuhi permintaan media untuk bergambar bersama jersi kelab barunya itu.
TONJOL KEYAKINAN: Pengurus Spurs, Ange Postecoglu, memenuhi permintaan media untuk bergambar bersama jersi kelab barunya itu. - Foto AIA SINGAPORE

Pengurus baru Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, mengakui tugas baru yang dipikulnya sekarang membuat keadaannya kini sangat sibuk.

“Terlalu banyak yang perlu ditangani, dan tentunya saiz kelab bola sepak ini adalah lebih besar daripada (kelab) yang pernah saya wakili dahulu,” katanya, menjelaskan kedudukannya sekarang semasa diwawancara media Singapura, di hotel Pan Pacific Singapore pada Isnin.

Beliau kini mengurus lebih ramai orang, dan antara cabarannya sekarang ialah mempersiap semua orang dalam pasukannya untuk bekerja menurut cara yang beliau inginkan, “melengkapkan mereka untuk masa mendatang, menghadapi cabaran besar pada masa depan”, ujar Ange.

Kelab Liga Perdana England (EPL) yang terletak di Tottenham, London, dan diasaskan pada 5 September 1882 itu melantik Ange, bekas jurulatih kelab Celtic di Scotland, sebagai pengurus baru dengan kontrak selama empat tahun.

Karyawan berusia 57 tahun itu, yang membawa Celtic menjulang tiga kejuaraan tempatan musim ini, menggantikan pengurus sebelum ini, Antonio Conte.

Ange menjadi warga Australia pertama dipilih menerajui sebuah kelab EPL, bermula 1 Julai.

Spurs berdepan keadaan mencabar, dengan Conte menjadi pengurus ketujuh dilepaskan kelab itu.

Conte, 53 tahun, yang dilantik pada 2021, gagal membawa kemenangan yang dicari-cari Spurs hingga ia kemarau piala kelab itu berpanjangan selama 15 tahun.

Kali terakhir Spurs menjulang piala ialah pada 2008 apabila ia memenangi Piala Liga.

HADAPI PERTANYAAN MEDIA: Pengurus baru kelab bola sepak Tottenham Hotspur, Ange Postecoglu, menjawab soalan yang dikemukakan hos acara yang juga merupakan Ketua Perhubungan Awam, Penjenamaan dan Pemasaran AIA Singapore, Cik Allison Chew, semasa pertemuannya dengan media Singapura di hotel Pan Pacific, pada tengah hari Isnin.
HADAPI PERTANYAAN MEDIA: Pengurus baru kelab bola sepak Tottenham Hotspur, Ange Postecoglu, menjawab soalan yang dikemukakan hos acara yang juga merupakan Ketua Perhubungan Awam, Penjenamaan dan Pemasaran AIA Singapore, Cik Allison Chew, semasa pertemuannya dengan media Singapura di hotel Pan Pacific, pada tengah hari Isnin. - Foto AIA SINGAPORE

Untuk musim EPL 2023/24, Spurs akan bertandang ke Brentford pada 13 Ogos untuk memulakan langkah pertama di bawah bimbingan Ange.

Ditanya tentang cabaran yang dihadapinya, Ange berkata: “Saya fikir cabaran di kelab ini sama seperti tahun-tahun lalu, anda tahu, anda cuba membawa kejayaan.

“Setiap pengurus berusaha menewaskan kelab bola sepak lain, itulah kehendak penyokong dan setiap orang.

“Tiada bezanya dengan saya... dan ketiadaan kami dalam (kejuaraan) Eropah, adalah mengecewakan.”

Menyentuh tentang keadaan pasukan yang dipimpinnya sekarang, Ange mengakui masih banyak perlu dilakukannya sedang pemain kini “keluar masuk”.

Lebih 50 penyokong Spurs berada di hotel Pan Pacific untuk menyambut ketibaan pasukan itu dan pemain kegemaran mereka, yang melambai ke arah mereka semasa turun dari bas.  

Spurs adalah pasukan asing pertama tiba di republik ini bagi acara Singapore Festival of Football Driven by CDG Zig yang pertama, yang berlangsung dari 26 Julai hingga 2 Ogos.

Tiga pasukan lain yang menyertai acara itu ialah Leicester City dan Liverpool, dari England, serta Bayern Munich dari Jerman.

Spurs akan menentang kelab Liga Perdana Singapura (SPL) Lion City Sailors pada 7.30 malam Rabu ini.

Pada awalnya, Spurs dijadualkan bertemu kelab Serie A AS Roma, tetapi malangnya kelab Italy itu telah merubah jadual mereka, menurut TEG Sport, yang menyampaikan acara itu.

Peminat bola sepak di sini bakal menikmati pertembungan antara Liverpool dengan Leicester pada 5 petang, 30 Julai dan Liverpool menentang Bayern pada 7.30 malam, 2 Ogos.

Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional.

Tiket untuk menyaksikan kesemua perlawanan boleh didapatkan di https://premier.ticketek.com.sg/

Ditanya tentang prestasi anak buahnya dan gandingan dua penyerang handalannya – Harry Kane dan Son Heung-Min – Ange berkata:

“Pada masa ini kami sedang bekerja keras di balik tabir, anda tahukan, cuba membina asas mengikut corak permainan yang kami inginkan.”

Beliau menambah bahawa Kane, 29 tahun, dan Son, 31 tahun, membentuk persefahaman yang amat baik dan sangat berbisa sekarang.

Namun, apakah Ange prihatin prestasi kedua-duanya akan menurun kerana usia yang semakin meningkat?

“Mereka dalam lingkungan 30-an tahun, mereka masih muda. Jadi saya tidak bimbang tentang usia mereka. Jika anda menyaksikan permainan mereka dan semasa mereka berlatih, saya tidak fikir mereka akan kendur sepanjang beberapa tahun mendatang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg