MANCHESTER: Pertemuan semula yang tidak disangka-sangka dengan Manchester United hampir menjadi kenyataan.

Ketika Marcus Rashford diperkenalkan oleh Barcelona pada Julai 2025, pada permulaan tempoh pinjaman setahun, tiada siapa menjangkakan beliau akan kembali ke Old Trafford 12 bulan kemudian. 

United telah menyerahkan jersi nombor 10 yang dipakai Rashford kepada pemain baharu, Matheus Cunha.

Namun, Rashford sendiri turut melihat ke arah masa depan ketika menilai penghijrahannya ke Sepanyol. 

“Manchester United sedang berada dalam tempoh perubahan,” kata penyerang itu semasa majlis pelancarannya di Barcelona pada musim panas 2025.

“Tiada apa-apa yang buruk untuk saya katakan kerana ia merupakan sebahagian penting bukan sahaja dalam kerjaya saya tetapi juga kehidupan saya. Saya bersyukur mendapat peluang itu.

“Saya harapkan yang terbaik untuk mereka dan semoga mereka berjaya pada masa depan,” tambah Rashford.

Kecuali berlaku sesuatu yang mengejut pada saat-saat akhir, kini, beliau akan terlibat dalam masa depan itu. 

Para pemain United yang terlibat dalam Piala Dunia 2026 semuanya telah kembali sekitar tiga minggu selepas perlawanan terakhir mereka.

Sekiranya kepulangan Rashford mengikut corak yang sama, beliau akan terlibat dalam kem latihan United minggu depan di Republik Ireland. 

Sekiranya itu berlaku, perlawanan pertamanya mungkin adalah menentang pasukan AC Milan yang diuruskan oleh bekas ketuanya, Ruben Amorim, di Wroclaw, Poland, pada 15 Ogos.

Ia bergantung pada apa yang dilihat oleh jurulatihnya sekarang, Michael Carrick, sebagai keputusan bijak – sama ada Rashford patut beraksi menentang Leeds di Croke Park pada 12 Ogos hanya dengan beberapa hari latihan.

Hampir pada setiap peringkat sepanjang 2025, Rashford dijangka tidak akan menghabiskan musim 2026-27 di United.

Beliau menjaringkan 11 gol dan menyumbang 14 bantuan gol ketika Barcelona memenangi gelaran La Liga, Piala Super Sepanyol dan melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Apabila Barcelona memutuskan untuk tidak mengaktifkan klausa 26 juta paun ($44.9 juta) bagi membeli pemain berusia 28 tahun itu, yang kontraknya dengan United tamat pada 2028, ia disangka sebagai taktik rundingan yang bertujuan membawa Rashford ke arah satu lagi pinjaman.

Namun, pembelian pemain sayap Jerman, Karim Adeyemi, daripada Borussia Dortmund pada 23 Julai, menyusuli ketibaan pemain sayap England, Anthony Gordon, seakan-akan mengakhiri kemungkinan itu.

Rashford memuat naik satu nota perpisahan kepada kelab tersebut di media sosial pada 30 Julai.

Sehari kemudian, jurulatih Barcelona, Hansi Flick, ditanya mengenai penyerang itu selepas satu perlawanan pramusim di Birmingham, England.

“Beliau pemain yang hebat dan insan yang hebat,” kata Flick.

“Pasukan akan merinduinya, saya akan merinduinya, tetapi begitulah kehidupan. Ini adalah sesuatu yang perlu kita terima.”

Rashford terikat kontrak dengan United sehingga 2028. Gajinya sebanyak 325,000 paun seminggu menjadikannya pemain dengan pendapatan tertinggi kelab itu. 

Ini berlaku pada masa pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe, sedang cuba mengawal kos gaji, yang merupakan perbelanjaan terbesar kelab itu, jauh melebihi perbelanjaan lain. 

Kegiatan pemindahan United telah menjadi perlahan sejak pemain tengah Belgium, Youri Tielemans, menyertai mereka dengan bayaran 35 juta paun pada 14 Julai.

Ketidaktentuan mengenai masa depan Rashford bukanlah satu-satunya punca bagi keadaan itu.

Namun hakikatnya, pencarian United untuk pemain sayap kiri atau penyerang lain akan terjejas sekiranya Rashford kekal di kelab itu, kerana beliau boleh bermain dalam kedua-dua kedudukan. 

Begitu juga, jumlah yang boleh dibayar United dalam bentuk gaji akan berbeza, bergantung pada sama ada gaji Rashford menjadi sebahagian daripada bil keseluruhan.

Ramai peminat berada dalam keadaan serba salah. Ramai berasa pertelingkahan Rashford dengan Amorim mengenai persembahannya semasa latihan mencerminkan seseorang yang tidak lagi merasakan kegembiraan bermain untuk kelab tempat beliau membesar.

Perbandingan dibuat antara persembahannya sebelum pemergiannya daripada United dengan persembahannya di Aston Villa dan kemudian Barcelona.

Yang lain pula berpendapat Rashford terlalu hebat untuk disisihkan kerana beliau seorang anak tempatan yang akan mendapat manfaat daripada sokongan dan mampu memberi kesan besar dalam pasukan Carrick. – Agensi berita.