Topik diikuti
Pergi ke BHkuArsenal pergiat usaha beli Guimaraes dari Newcastle
LONDON: Arsenal telah meningkatkan rundingan bersama Newcastle United dalam usaha menandatangani pemain tengah dari Brazil, Bruno Guimaraes, menurut beberapa laporan pada 4 Ogos.
Juara Liga Perdana England (EPL) itu dilapor menyaksikan tawaran terbaru mereka bernilai 70 juta paun ($120 juta) ditolak oleh Newcastle, namun sedia kembali dengan tawaran lebih tinggi.
Arsenal bersungguh-sungguh ingin menandatangani kapten Newcastle itu selepas membuat keputusan untuk tidak menyamai yuran perpindahan rekod Britain bernilai 117 juta paun yang dibayar Chelsea bagi mendapatkan penyerang England, Morgan Rogers, daripada Aston Villa.
Guimaraes, 28 tahun, telah menjaringkan sembilan gol dan menyumbang lapan bantuan gol dalam semua pertandingan untuk Newcastle musim lalu.
Newcastle, yang membawa masuk Guimaraes dengan nilai 35 juta paun daripada kelab Perancis, Lyon, pada 2022, mahu mengelak pengulangan saga perpindahan berlarutan seperti sebelum ini.
Saga itu menyaksikan penyerang Sweden, Alexander Isak, berpindah ke Liverpool pada hari terakhir tempoh perpindahan musim panas lalu, iaitu 1 September 2025.
Isak ketika itu melancarkan mogok dengan enggan menyertai persediaan pramusim Newcastle 12 bulan lalu demi mendesak perpindahannya ke Anfield.
Eddie Howe, yang meletak jawatan sebagai pengurus Newcastle minggu lalu, mengakui sebelum ini bahawa beliau bimbang akan kehilangan Guimaraes.
Selepas bercuti menyusuli kekalahan Brazil 1-2 kepada Norway dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia pada Julai, Guimaraes telah menyertai semula Newcastle bagi kem latihan pramusim kelab itu di Sepanyol.
Namun, besar kemungkinan beliau tidak akan kekal bersama kelab ‘The Magpies’ itu apabila mereka memulakan kempen EPL menentang Liverpool di padang sendiri pada 23 Ogos.
Arsenal pula akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan mereka menentang Coventry City di Stadium Emirates, London, pada 21 Ogos.
Pengurus ‘Gunners’ (gelaran bagi Arsenal), Mikel Arteta, belum membuat kenyataan secara terbuka mengenai hasratnya untuk menandatangani Guimaraes, namun berkata kelab itu “sangat aktif” dan “sangat bercita-cita tinggi dengan apa yang kami ingin lakukan”.
“Kami perlu meningkatkan persaingan dalaman. Kami perlu memastikan kami mengenal pasti perkara yang masih belum ada dalam pasukan ini,” katanya. – AFP.
