Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apabila aiskrim dorong atlet cemerlang di kolam renang

Aug 1, 2025 | 1:12 PM
Adaku Nwandu yang berpangkalan di Singapura, telah mewakili Nigeria dalam Kejohanan Dunia Renang Jarak Pendek 2024 yang berlangsung di Hungary.
Adaku Nwandu yang berpangkalan di Singapura, telah mewakili Nigeria dalam Kejohanan Dunia Renang Jarak Pendek 2024 yang berlangsung di Hungary. - Foto INSTAGRAM ADA.NWANDU

Bagi Adaku Nwandu, beliau mempunyai beberapa negara yang boleh dianggap sebagai rumahnya.

Dilahirkan di China, menetap di Singapura, dan mewakili Nigeria dalam sukan renang, perenang berusia 17 tahun itu mempunyai pelbagai identiti.

Kini berlatih dan menetap di Singapura, Adaku membuat penampilan sulungnya di Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) 2025 yang dihoskan Singapura.

Dalam saringan kedua acara gaya bebas 100 meter, Adaku yang bapanya asal Nigeria dan ibu dari China, pada mulanya mendahului perlumbaan, tetapi akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 1 minit 0.89 saat.

Secara keseluruhan, beliau menduduki tempat ke-59 daripada 82 peserta.

Menurut laporan The Straits Times, Adaku lahir dan dibesarkan di Shanghai dan mula berenang sejak umurnya lapan tahun.

Menariknya, motivasi untuk beliau terus berenang bukan datang daripada hadiah yang mahal, sebaliknya hanya aiskrim.

“Semasa satu pertandingan sekolah, saya tidak beraksi dengan baik.

“Lantas saya minta ayah untuk buat perjanjian... jika saya beraksi lebih baik, ayah saya akan belanja aiskrim setiap minggu,” kata perenang itu.

“Hingga sekarang kami kekalkan janji tersebut... hingga saya berada di sini.”

Pada 2023, keluarganya berpindah ke Singapura ekoran pekerjaan ibunya.

Dengan penguasaan bahasa Mandarin dan minat dalam makanan Asia – terutama makanan pedas – Adaku cepat menyesuaikan diri, hingga beliau kini mahir Singlish dan menikmati hidangan tempatan seperti nasi ayam dan cili ketam.

“Lagipun, suasana sukan renang di tempat asal saya di China tidak begitu baik, jadi ibu rasa Singapura mampu beri pengalaman baru yang lebih positif untuk perkembangan saya,” kata Adaku.

Beliau mengambil keputusan mewakili Nigeria selepas dihubungi oleh persatuan renang Nigeria susulan penyertaannya di Festival Sukan Kebangsaan di Asaba, di mana beliau merupakan anggota pasukan acara gaya bebas 4x200 meter yang berjaya memecah rekod kebangsaan.

Namun Singapura menjadi tapak beliau mengasah bakatnya.

Di sini, beliau mencatat rekod kebangsaan Nigeria bagi acara gaya bebas 50 meter dan 100 meter dalam pelbagai kejohanan.

“Adaku sudah lama mengikuti sistem latihan kami.

“Kami berharap pengalaman ini membantu beliau untuk bangkit sebagai perenang dan capai impiannya, sambil menjalani latihan di sini bersama sekolahnya (Sekolah Jerman Eropah Singapura),” kata jurulatih renang dan pengarah prestasi Singapura, Gary Tan.

Adaku melihat juara Olimpik, David Popovici, Caeleb Dressel dan Adam Peaty, sebagai inspirasi.

Beliau kagum terutamanya dengan disiplin dan bagaimana mereka memanfaatkan waktu berehat untuk kembali berenang dengan lebih baik.

Dan untuk melayakkan diri ke Olimpik, bagaikan impian menjadi kenyataan.

Debut Olimpiknya juga penuh kenangan apabila pakaian renangnya koyak 20 minit sebelum saringan gaya bebas 50 meter.

Namun beliau tetap berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan kedudukan tangga ke-33 secara keseluruhan dengan masa 26.62 saat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg