Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arab Saudi alu-alu semua pengunjung termasuk LGBTQ selaku hos Piala Dunia 2034

Sep 26, 2024 | 1:29 PM
Arab Saudi menafikan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 adalah untuk meningkatkan reputasi negara, di tengah-tengah rekod hak asasi manusia negara itu.
Arab Saudi menafikan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 adalah untuk meningkatkan reputasi negara, di tengah-tengah rekod hak asasi manusia negara itu. - Foto REUTERS

RIYADH: Ketua unit bidaan Piala Dunia 2034 Arab Saudi, Hammad Albalawi, berkata negaranya mengalu-alukan semua pelawat, termasuk golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ).

Beliau menambah bahawa bidaan Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 tidak berkaitan dengan sportswashing – menggunakan acara sukan untuk meningkatkan reputasi negara, di tengah-tengah rekod hak asasi manusia negara itu.

Badan induk sejagat, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), mengehadkan bidaan untuk Piala Dunia 2034 kepada negara dari konfederasi Asia dan Oceania.

Ini kerana Maghribi, Portugal dan Sepanyol akan berkongsi penganjuran kejohanan 2030.

Tuan rumah untuk Piala Dunia 2034 dijangka dilantik secara rasmi oleh Fifa pada Disember, dan bidaan Arab Saudi hampir pasti berjaya kerana tidak terdapat sebarang minat dari negara lain sebelum tarikh akhir ditetapkan Fifa iaitu pada akhir 2023.

Pada Ogos, pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, berkata Arab Saudi gagal memenuhi keperluan hak asasi manusia Fifa dalam bidaannya untuk Piala Dunia 2034, lantas menggesa tindakan segera diambil bagi meningkatkan perlindungan hak asasi manusia negara itu.

Tiada kumpulan advokasi awam untuk golongan LGBTQ di Arab Saudi, dan walaupun undang-undang negara itu tidak disusun dalam kod sistematik, Amnesty International difahamkan bahawa orang ramai boleh dijatuhkan hukuman mati jika terbukti mereka terlibat dalam perbuatan seksual sejenis.

Apabila ditanya saluran media Sky Sports mengenai penyokong bola sepak daripada golongan LGBTQ yang ingin melawat negaranya, Hammad berkata:

“Anda akan dihormati. Anda akan dialu-alukan di Arab Saudi kerana penghormatan dan sambutan itu adalah untuk semua orang dari seluruh dunia. Kami menghormati privasi semua tetamu kami.

“Kami telah melihat berjuta-juta tetamu datang ke Arab Saudi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami telah menganjurkan lebih 100 acara sukan yang dihadiri lebih tiga juta peminat yang telah rasakan keseronokan melalui pengalaman itu.

“Orang ramai perlu mendidik diri mereka tentang Arab Saudi dan cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan mengunjungi (Arab Saudi). Mereka akan menemui orang Saudi yang ramah. Kami ingin menyambut tetamu kami.”

Pada Mei 2023, laman web pelancongan Arab Saudi kendalian kerajaan berkata dalam satu kenyataan mengenai pengunjung LGBTQ bahawa negara itu “meminta pengunjung menghormati budaya dan tradisi kami dan mematuhi undang-undang kami seperti yang mereka lakukan ketika mengunjungi negara lain di dunia”.

“Seperti kerajaan lain di seluruh dunia, kami tidak memerlukan pengunjung untuk mendedahkan maklumat peribadi mereka dan kami akan menghormati hak privasi pengunjung,” tambahnya.

Arab Saudi telah melabur banyak dalam sukan berprofil tinggi seperti bola sepak, Formula Satu, tinju dan golf sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini menyebabkan pengkritik, termasuk Amnesty International, menuduh kerajaan kaya minyak itu menggunakan sukan bagi meningkatkan reputasinya di tengah-tengah rekod hak asasi manusia mereka.

Ketika bercakap dengan media tempatan dan antarabangsa, Hammad menafikan tuduhan itu dan mengesahkan komitmen Arab Saudi terhadap Wawasan 2030.

“Kami tidak melakukan ini untuk menjadi tajuk utama berita, kami melakukan ini untuk rakyat kami.

“Kami melabur demi memastikan rakyat Arab Saudi hidup lebih lama dan lebih berbahagia dan itu adalah sesuatu yang sangat kami banggakan,” kata Hammad.

Wawasan 2030, yang dilancarkan pada 2016 dan diketuai oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara yang bergantung pada minyak dengan meningkatkan pelancongan dan kehidupan bandar melalui acara budaya dan warisan serta sukan.

“Jika sportswashing akan meningkatkan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 1 peratus, kami akan meneruskan sportswashing,” kata Putera Mohammed dalam temu bual dengan saluran media, Fox News, pada 2023. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg