Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Legenda Piala Dunia 1990 Italy, Salvatore Schillaci, meninggal

Sep 19, 2024 | 5:19 PM
Penyerang Italy, Salvatore Schillaci (jersi biru), cuba mengawal bola di bawah tekanan daripada pemain pertahanan Amerika Syarikat, Jimmy Banks, dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 1990.
Penyerang Italy, Salvatore Schillaci (jersi biru), cuba mengawal bola di bawah tekanan daripada pemain pertahanan Amerika Syarikat, Jimmy Banks, dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 1990. - Foto AFP

ROME: Bekas penyerang Italy, Salvatore Schillaci, yang menjadi bintang Piala Dunia 1990 yang berlangsung di negara itu, meninggal dunia pada usia 59 tahun, menurut bekas kelab bola sepaknya, Inter Milan dan Juventus, pada 18 September.

Schillaci dimasukkan ke hospital Palermo minggu lalu. Hospital itu menyatakan beliau menerima rawatan untuk menstabilkan degupan jantungnya.

Beliau disahkan menghidap barah kolon pada 2022.

Schillaci membawa Italy ke tempat ketiga pada Piala Dunia 1990, memenangi But Emas kerana menjaringkan enam gol semasa kejohanan itu, termasuk dalam perlawanan separuh akhir menentang Argentina.

“Seorang ikon bola sepak telah meninggalkan kita, seorang lelaki yang menyentuh hati rakyat Italy dan peminat sukan di seluruh dunia,” kata Perdana Menteri Italy, Cik Georgia Meloni, di media sosial X.

“Salvatore Schillaci, dikenali ramai sebagai Toto, penyerang pada malam ajaib Italy semasa (Piala Dunia) 1990 bersama pasukan kebangsaan kita.

“Terima kasih kerana perasaan yang anda berikan kepada kami, kerana membuat kami berimpian, merayakan, mendakap dan mengibarkan bendera negara. Selamat tinggal, juara,” tambah beliau.

Gambar-gambar pemain Sicily itu, yang sering meraikan gol dengan mata terbeliak, menjadi salah satu imej abadi Piala Dunia 1990.

Namanya sering menjadi sebutan dalam kalangan rakyat Italy, mengatasi pemain lebih mantap seperti Gianluca Vialli dan Roberto Baggio.

Schillaci dianugerah Bola Emas selaku Pemain Terbaik Pertandingan tersebut.

Beliau kemudian dinobatkan sebagai naib juara bagi anugerah Pemain Terbaik Dunia, Ballon d’Or, pada 1990, di belakang kapten yang memenangi Piala Dunia itu, Lothar Matthaus dari Jerman Barat.

Beliau memulakan perlawanan pembukaan Piala Dunia 1990 di Italy sebagai pemain gantian, namun kemudian masuk ke padang untuk menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Austria.

Selepas kemeriahan Piala Dunia 1990, Schillaci hanya menjaringkan satu lagi gol untuk Italy, dan tidak muncul lagi dalam mana-mana perlawanan kejohanan utama lain.

Schillaci dikatakan agak lambat berkembang kerana menghabiskan tahun-tahun awal kerjayanya bermain di liga bawahan untuk kelab Sicily, Messina.

“Kami jatuh cinta pada Toto. Dengan keinginannya, ceritanya, minatnya.

“Kami beruntung kerana teruja dengannya sebelum ini, pada musim panas yang luar biasa pada 1990, seluruh Italy juga jatuh cinta padanya,” kata Juventus dalam satu kenyataan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg