Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arena renang baru sedia sambut atlet antarabangsa

Kemudahan sukan bertaraf dunia bersebelahan Kallang Leisure Park dibina dalam lima bulan, ambil kira pengalaman bagi penonton
Jun 16, 2025 | 5:24 PM
Arena WCH, Kejohanan Akuatik Dunia 2025, renang,
Arena WCH (Kejohanan Akuatik Dunia) merupakan salah satu lokasi bersaing bagi WCH 2025 di Singapura. - Foto ST

Arena sukan bertaraf dunia yang dibina dalam masa hanya lima bulan kini bersedia menyambut kedatangan para atlet terbaik dunia ke Singapura bagi Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025) di Singapura.

Pengerusi bersama jawatankuasa penganjur WCH 2025, Mark Chay, menyifatkan usaha pembinaan Arena WCH itu sebagai satu pencapaian luar biasa.

“Bagi membina kemudahan bertaraf dunia dalam masa lima bulan bukan perkara mudah. Ia satu usaha kolektif yang melibatkan ramai pihak, termasuk rakan kongsi sektor awam dan swasta,” katanya semasa lawatan khas media pada 16 Jun.

Walaupun pembinaan tersebut mengambil masa yang agak singkat, pengerusi Kin Productions, syarikat yang membina arena tersebut, Ko Chee Wah, mengesahkan bahawa ia mematuhi keperluan keselamatan dan peraturan pemerintah.

“Bangunannya dibina dalam masa lima bulan, tetapi perancangannya bermula jauh lebih awal... dan kami pastikan bahawa kami menyediakan kemudahan yang selamat sebagaimana kemudahan tetap,” kata Koh.

Terletak bersebelahan Kallang Leisure Park, arena tersebut dilengkapi dengan kolam renang sepanjang 50 meter dan selebar 26 meter dengan ukuran tiga meter dalam, berbanding kolam sementara di La Defense Arena semasa Olimpik Paris 2024, yang hanya selebar 25 meter dan sedalam 2.15 meter.

Blok permulaan renang OSB11, yang sama digunakan semasa Olimpik Paris 2024, digunakan bagi Arena WCH ini bukan sekadar menambah nilai estetika, tetapi memastikan bahawa atlet mempunyai kemudahan yang diperlukan untuk bersaing di tahap tertinggi.

Kemudahan bagi para atlet untuk bersaing di tahap tertinggi mereka turut tersedia di dalam Arena WCH (Kejohanan Akuatik Dunia). Antaranya adalah blok permulaan OSB11, yang sama digunakan semasa Olimpik Paris 2024.
Kemudahan bagi para atlet untuk bersaing di tahap tertinggi mereka turut tersedia di dalam Arena WCH (Kejohanan Akuatik Dunia). Antaranya adalah blok permulaan OSB11, yang sama digunakan semasa Olimpik Paris 2024. - Foto REUTERS

Pengalaman penonton di arena tersebut juga diambil kira.

Tempat duduk penonton yang mampu menampung 4,800 orang disusun pada sudut 32 darjah, memberikan pengalaman menonton lebih baik, berbanding sudut 17 darjah yang biasa digunakan pada acara sukan lain di Singapura. 

Di samping itu, terdapat zon peminat yang menyediakan kegiatan interaktif, gerai barangan rasmi, ruang mempamer penaja serta reruai makanan dan minuman untuk keselesaan pengunjung.

Arena renang yang baru dibina, Arena WCH, mampu menampung seramai 4,800 penonton. Terdapat beberapa ciri yang diubah, seperti sudut pandangan penonton, bagi memastikan kededua pesaing dan penyokong mendapat pengalaman yang terbaik di arena tersebut.
Arena renang yang baru dibina, Arena WCH, mampu menampung seramai 4,800 penonton. Terdapat beberapa ciri yang diubah, seperti sudut pandangan penonton, bagi memastikan kededua pesaing dan penyokong mendapat pengalaman yang terbaik di arena tersebut. - Foto ST

Sebelum memulakan projek ini, pihak penganjur telah meninjau beberapa arena kejohanan WCH utama di luar negara seperti Fukuoka, Doha dan Hangzhou, bagi mendapatkan inspirasi dan maklum balas tentang reka bentuk serta pengalaman penonton dan atlet.

Antara pertimbangan utama ialah keperluan teknikal bagi penyiaran, kedalaman kolam untuk renang artistik, serta jumlah tempat duduk.

Acara renang dan renang artistik dijadual berlangsung di Arena WCH antara 18 Julai dengan 3 Ogos, manakala acara polo air dan sukan terjun junam pula akan diadakan di Pusat Akuatik OCBC.

Sentosa akan menjadi lokasi bagi acara renang laut terbuka di Pantai Palawan dan terjun junam tinggi di Palawan Green.

Sebelum kejohanan utama itu, Arena WCH akan menjadi pentas bagi Kejohanan Belia Asia Tenggara dari 19 hingga 29 Jun, yang juga berfungsi sebagai acara ujian untuk memastikan kelancaran operasi di arena tersebut.

“Kami ingin menguji sistem teknikal, aliran logistik, serta kesediaan untuk mengendalikan atlet dari pelbagai negara,” kata Cheong.

Buat masa ini, hala tuju jangka panjang arena ini masih dalam peringkat penilaian.

Bagaimanapun, pihak penganjur tidak menolak kemungkinan bahawa Arena WCH akan digunakan selepas WCH 2025, sambil menjelaskan bahawa ia boleh digunakan untuk tempat berlatih atau bersaing bagi kejohanan renang tempatan dan serantau yang lain.

“Kami sedang menilai bagaimana kemudahan ini boleh dapat terus menyumbang kepada pembangunan sukan akuatik tempatan dan serantau selepas WCH 2025,” ujar Cheong lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg