Juara bertahan, Argentina, melangkah ke perlawanan terakhir kumpulan J dengan harapan mengekalkan rekod cemerlang apabila bersua dengan Jordan, pada 28 Jun.

Stadium Dallas di Amerika Syarikat yang boleh menampung sekitar 70,000 penonton, bakal menjadi gelanggang bagi pertembungan pertama antara kededua negara itu.

Jordan tewas dalam dua perlawanan – ditundukkan Austria 3-1 dan kalah 1-2 kepada Algeria.

Argentina mendahului Jordan dengan kelebihan 71 tangga dalam kedudukan dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Berbekalkan prestasi cemerlang ketika menewaskan Algeria dan Austria, Argentina dijangka bakal meneruskan momentum kemenangan tersebut menjelang saingan pusingan 32 pasukan terakhir

Ternyata, skuad Albiceleste akan menaruh harapan tertinggi dalam wira mereka, Lionel Messi, yang telah menjaringkan semua lima gol buat pasukannya itu bagi kempen Piala Dunia setakat ini.

Messi, berusia 39 tahun, membuka tirai Piala Dunia 2026 dengan bergaya menerusi hatrik pertama beliau di pentas bola sepak terbesar ketika Argentina menewaskan Algeria 3-0 pada 17 Jun.

Beliau kemudian menebus kekecewaan gagal menyempurnakan sepakan penalti dengan menjaringkan dua gol, sekali gus menghadiahkan Argentina dengan kemenangan kedua selepas menundukkan Austria 2-0 pada 23 Jun.

Tidak boleh dinafikan bahawa Messi merupakan tonggak utama Argentina. Namun, impak kolektif daripada setiap anak didik Lionel Scaloni turut penting dalam memacu kejayaan skuad itu.

Dapat diperhatikan bahawa pasukan Argentina gemar meruntuhkan benteng pertahanan lawan menerusi gerakan yang lincah dan susunan pemain yang dinamik.

Mereka sering mengumpan pemain lawan untuk cuba merampas bola, sekali gus membuka ruang untuk melancarkan serangan berbahaya menerusi kombinasi hantaran pendek.

Strategi demikian sangat berkesan kerana setiap pemain Argentina mempunyai keyakinan dan keselesaan untuk menahan asakan daripada pemain lawan, dan juga mampu menguasai situasi satu lawan satu.

Nampaknya, pemain Jordan berdepan ujian yang getir apabila bersua dengan Argentina.

Impian Jordan untuk melakar penampilan sulung yang berkesan kini berkecai selepas gagal meraih sebarang mata setakat ini.

Anak didik Jamal Sellami hampir meraih kemenangan pertama mereka apabila menentang Algeria pada 23 Jun.

Jaringan Nizar Al-Rashdan pada awal perlawanan memberi harapan wakil Asia itu. Namun, skuad itu gagal mempertahankan kelebihan mereka dalam tempoh 25 minit terakhir.

Sumbangan gol oleh Nadhir Benbouali dan Amine Gouiri akhirnya memastikan kemenangan 2-1 memihak kepada Algeria, sekali gus menamatkan kempen Jordan di Piala Dunia 2026.

Natijahnya, perlawanan pada 28 Jun menentang Argentina merupakan peluang terkahir untuk Jordan membanggakan penyokong negara.

Mampukah Jordan mengatasi juara bertahan untuk menghasilkan kejutan besar di Stadium Dallas nanti?

Ramalan wartawan: Argentina 3-0 Jordan

JADUAL PERLAWANAN PADA 28 JUN

Kumpulan L (5 pagi)

Panama lwn England

Croatia lwn Ghana

Kumpulan K (7.30 pagi)

Colombia lwn Portugal

DR Congo vs Uzbekistan

Kumpulan J (10 pagi)

Algeria lwn Austria (10 pagi)

Jordan lwn Argentina (10 pagi)