Colombia memasuki perlawanan terakhir Kumpulan K dengan mengumpul enam mata daripada dua perlawanan dan sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir.

Ia bermakna mereka menikmati kelebihan beraksi merebut gelaran juara kumpulan tanpa tekanan perjuangan untuk terus kekal dalam kejohanan.

Portugal, yang ketinggalan dua mata di belakang Colombia selepas seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada 18 Jun, memerlukan keputusan positif untuk menjamin tempat pertama kumpulan serta mengelakkan laluan yang berpotensi lebih sukar dalam pusingan kalah mati.

Kemenangan bagi Colombia akan memastikan mereka mara sebagai juara kumpulan tanpa mengira keputusan lain.

Sebaliknya, kemenangan bagi Portugal akan menyaksikan skuad kendalian Roberto Martinez menyamai kutipan mata Colombia dan berkemungkinan berada di hadapan berdasarkan perbezaan jaringan.

Oleh itu, kededua pasukan mempunyai motivasi yang jelas untuk memburu kemenangan, walaupun kepentingan perlawanan ini berbeza bagi setiap pasukan.

Setakat ini, Colombia muncul antara pasukan paling konsisten dalam kejohanan.

Selepas menewaskan Uzbekistan 3-1 pada aksi pembukaan, mereka sekali lagi mempamerkan disiplin tinggi apabila menundukkan Republik Demokratik Congo 1-0 menerusi jaringan lewat Daniel Munoz.

Walaupun hanya menang dengan satu gol, Colombia menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta pelbagai peluang berbahaya.

Di bawah kendalian Nestor Lorenzo, Colombia menampilkan corak permainan yang seimbang.

Mereka tidak terlalu bergantung kepada penguasaan bola, sebaliknya bijak memilih masa untuk meningkatkan tempo dan melancarkan serangan balas yang pantas.

Pemain yang bakal menjadi tumpuan sudah tentu Luis Diaz.

Bintang Bayern Munich itu menjadi nadi utama jentera serangan Colombia menerusi kepantasan, kemahiran menggelecek dan keupayaannya mencipta ruang walaupun dikawal ketat pertahanan lawan.

Portugal pula memasuki perlawanan ini dengan rentak yang kembali memihak kepada mereka.

Selepas dikecewakan oleh Republik Demokratik Congo pada aksi pertama, Portugal bangkit dengan penuh bergaya apabila membelasah Uzbekistan 5-0 pada 24 Jun.

Persembahan itu mengingatkan semua bahawa skuad Roberto Martinez masih memiliki kualiti untuk mencabar kejuaraan.

Cristiano Ronaldo akhirnya menamatkan kemarau jaringan dalam kejohanan utama apabila menjaringkan dua gol ketika menentang Uzbekistan, dan sudah pasti akan memburu lebih jaringan.

Namun, pemain yang sering menjadi penggerak sebenar Portugal ialah Bruno Fernandes.

Kapten kelab Manchester United itu terus menjadi pencipta peluang utama pasukan menerusi hantaran tepat, kebijaksanaan mencari ruang dan kemampuannya mencipta peluang buat rakan sepasukan.

Portugal hampir pasti akan menguasai bola kerana mereka memerlukan kemenangan, manakala Colombia mempunyai kelebihan untuk bermain lebih sabar dan menghukum lawan menerusi serangan balas pantas.

Dengan status juara kumpulan menjadi rebutan, kededua pasukan dijangka menurunkan kesebelasan terbaik mereka.

Portugal perlu mula mempamerkan dan bermain mengikut potensi mereka dan membuktikan bahawa mereka benar-benar layak menjadi antara pencabar kejuaraan.

Caranya sekarang adalah untuk menundukkan Columbia dan mengakhiri peringkat ini sebagai juara kumpulan.

Ramalan wartawan: Portugal 3-1 Columbia