Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Argentina, Brazil kalah mengejut dalam kelayakan Piala Dunia  

Sep 11, 2024 | 4:51 PM
Kapten Colombia, James Rodriguez, meraikan jaringan kemenangan negaranya menentang Argentina di kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026.
Kapten Colombia, James Rodriguez, meraikan jaringan kemenangan negaranya menentang Argentina di kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026. - Foto AFP

MONTEVIDEO (Uruguay): Colombia menebus kekalahan semasa perlawanan akhir kejohanan Copa America dengan kemenangan 2-1 ke atas Argentina pada 10 September, manakala Brazil tewas 0-1 menentang Paraguay dalam kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026.

Kapten, James Rodriguez, menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-60 untuk memastikan kemenangan buat Colombia ke atas juara dunia itu, yang beraksi tanpa kapten Lionel Messi yang cedera.

Ia adalah kemenangan yang manis untuk Colombia, yang dikalahkan 0-1 oleh Argentina dalam kekalahan final Copa America yang sangat mengecewakan di Miami, Amerika Syarikat, pada Julai 2024.

“Saya rasa saya tidak pernah menjaringkan gol menentang mereka – terdapat kali pertama untuk segala-galanya,” kata Rodriguez mengenai gol kemenangannya.

“Kami mahu membiasakan diri bermain perlawanan akhir. Hari ini hanyalah satu lagi perlawanan, tetapi menentang pasukan yang telah memenangi segala-galanya – kemenangan ini lebih bermakna.”

Kemenangan di Stadium Metropolitano Barranquilla meletakkan Colombia di tempat kedua dalam kelayakan 10 pasukan Amerika Selatan dengan 16 mata daripada lapan perlawanan, hanya dua mata di belakang pendahulu Argentina.

Colombia, disokong penyokong tuan rumah, mendahului pada minit ke-25 apabila Rodriguez melakukan hantaran lintang di mana Yerson Mosquera menanduk masuk gol.

Namun, tiga minit selepas rehat, pasukan pelawat menyamakan kedudukan apabila kesilapan Rodriguez dimanfaatkan Nicolas Gonzalez, yang membawa lari bola dan menjaringkan gol, melepasi penjaga gol Colombia, Camilo Vargas.

Colombia kemudian mendapatkan gol kemenangan dengan cara yang penuh kontroversi 12 minit kemudian.

Nicolas Otamendi mengasari Daniel Munoz dengan kekasaran liar dan selepas beberapa minit, pengadil Chile, Piero Maza, menghadiahkan penalti kepada Colombia selepas menyemak video penolong pengadil (VAR).

Rodriguez melalukan sepakan dengan penuh keyakinan untuk memenangi permainan.

Walaupun tewas, Argentina kekal selesa di landasan untuk merebut tempat ke Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.

Dengan kejohanan itu berkembang kepada 48 pasukan, enam negara teratas dalam kelayakan Amerika Selatan akan menempah tempat.

Pasukan di tempat ketujuh dalam kelayakan akan beraksi di play-off antara konfederasi, dengan tiga pasukan terbawah akan tersingkir.

Juara dunia lima kali Brazil, sementara itu, meneruskan kempen tidak meyakinkan mereka dengan kekalahan mereka kepada Paraguay di Asuncion.

Pemain tengah Inter Miami, Diego Gomez – yang dilaporkan akan menyertai kelab Liga Perdana, Brighton pada penghujung musim – menjaringkan gol tunggal perlawanan, dengan rembatan jarak jauh pada minit ke-20.

Kekalahan itu meletakkan Brazil di tangga kelima dengan 10 mata, mendahului Venezuela dengan perbezaan gol, yang seri 0-0 di laman sendiri menentang Uruguay.

Paraguay melonjak ke tempat ketujuh dengan sembilan mata selepas memenangi perlawanan kedua dalam kempen kelayakan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg