Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kane jaring dua gol pada penampilan ke-100

Sep 11, 2024 | 1:59 PM
Penyerang dan kapten England, Harry Kane, meraikan penampilan antarabangsanya yang ke-100 dengan menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Finland di Wembley.
Penyerang dan kapten England, Harry Kane, meraikan penampilan antarabangsanya yang ke-100 dengan menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Finland di Wembley. - Foto AFP

LONDON: Kapten pasukan England, Harry Kane, meraikan penampilan antarabangsanya yang ke-100 dengan menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Finland dalam Liga Negara-Negara Uefa Kumpulan B2 di Wembley.

Penyerang Bayern Munich berusia 31 tahun itu, yang menerima topi emas sebelum sepak mula dan menggayakan sepasang but emas, membuka jaringan pada minit ke-57 untuk mengatasi tentangan hebat Finland.

Aksi cemerlang penjaga gol Finland, Lukas Hradecky, menyaksikan Kane beberapa kali gagal membolosi gawang pelawat, tetapi Kane berjaya menewaskan Hradecky sekali lagi pada minit ke-76, menjadikan jaringan itu yang ke-68 sepanjang kerjayanya dengan England.

Kane, yang turut menanduk masuk bola ke gawang pada separuh masa pertama tetapi dikira ofsaid, diberikan tepukan gemuruh apabila beliau digantikan pada minit ke-80. 

Kemenangan itu adalah yang kedua di bawah pengurus sementara, Lee Carsley, selepas England mengatasi Ireland pada 7 September.

Mereka kini berkongsi tangga teratas kumpulan dengan Greece. 

Walaupun terdapat perdebatan mengenai sama ada Carsley boleh menjadi pengurus sepenuh masa ekoran peletakan jawatan Gareth Southgate selepas Euro 2024, perangkaan kemenangan itu dikatakan menjadikan Kane penyerang terhebat negaranya.

Kane merupakan pemain ketiga menjaringkan gol pada penampilan ke-100 bersama England, tetapi Wayne Rooney dan Bobby Charlton hanya menjaringkan satu gol dalam penampilan masing-masing. 

Bekas penyerang Tottenham Hotspur itu telah dikritik dalam laluan England ke final Euro 2024 kerana kelihatan kurang lincah dan gagal memberi kesan.

Namun, Kane mempamerkan semula kehebatannya ketika menentang Finland.

“Ia adalah malam yang bermakna bagi saya, saya benar-benar bangga. Saya mahu menjaringkan gol dan membantu pasukan. Setiap kali anda diragui, ia membuat anda lebih bersemangat untuk membuktikan orang salah (berfikiran sedemikian),” kata Kane.     

Carsley memperkenalkan pemain tengah, Angel Gomes, untuk membuat penampilan pertama bersama England, dan membawa masuk pemain pertahanan Manchester City, Rico Lewis, untuk penampilan keduanya.

England menguasai tempoh separuh masa pertama, dengan Finland jarang keluar dari kawasan mereka, dan terhutang budi kepada Hradecky, yang bertindak cemerlang sebelum akhirnya dikalahkan oleh Kane.

Mengulas persembahan Kane, Carsley berkata: “Apa yang saya perhatikan minggu ini ialah beliau sangat bermotivasi untuk bermain untuk England dan menjaringkan gol. Semoga ia berterusan.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg