Topik diikuti
Pergi ke BHkuArgentina, Mesir ngadu tidak cukup rehat
Argentina, Mesir ngadu tidak cukup rehat
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam pusingan 16 selepas lalui ujian fizikal berat dalam perlawanan sebelumnya
Argentina, Mesir ngadu tidak cukup rehat
KANSAS CITY (Amerika Syarikat): Argentina dan Mesir akan bertembung dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia pada 7 Julai (8 Julai waktu Singapura) di Atlanta, namun tidak mempunyai banyak masa untuk pulih selepas kedua-dua pasukan melalui ujian fizikal berat dalam perlawanan kalah mati pertama mereka.
Juara bertahan, Argentina, memerlukan masa tambahan untuk menewaskan pendatang baru Piala Dunia, Cape Verde, 3-2 pada 4 Julai (waktu Singapura).
Manakala Mesir memerlukan sehingga 120 minit sebelum dapat menewaskan Australia 4-2 menerusi sepakan penalti selepas seri 1-1.
Tempoh pemulihan yang singkat ini membimbangkan kedua-dua pasukan itu, terutamanya Argentina, yang kempennya kelihatan sempurna sebelum ini tetapi kini mula menunjukkan tanda-tanda kelemahan.
Selepas melepasi peringkat kumpulan dengan mudah, pasukan Argentina bergelut untuk menguasai permainan menentang Cape Verde, hingga mencetuskan perdebatan sama ada persembahan itu hanya tersasar sekali sahaja atau merupakan bukti kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh bakal lawan.
“Apa yang membimbangkan saya sekarang ialah hanya ada empat hari untuk berehat dan melakukan perjalanan. Ramai pemain mengalami kekejangan otot, dan sekarang mereka perlu menentang Mesir, yang juga pasukan yang sangat kuat dari segi fizikal.
“Saya rasa mereka lebih bermutu di barisan hadapan berbanding Cape Verde,” kata bekas penyerang, Sergio Aguero, di ESPN Argentina.
Lionel Messi mengakui selepas perlawanan menentang Cape Verde bahawa beliau keletihan, dan meluahkan rasa kesal atas ketidakupayaan Argentina menekan pemain lawan di kawasan padang lawan.
Mesir berkemungkinan mendapat semangat daripada cara Cape Verde memberi perlawanan yang sukar kepada pasukan Amerika Selatan itu.
Pasukan Afrika Utara itu banyak bergantung pada cara pertahanan mereka, sambil mengharapkan Mohamed Salah dan Omar Marmoush melancarkan serangan balas ketika menentang Australia, satu pendekatan yang mungkin mereka gunakan sekali lagi ketika menentang Argentina.
Bagi Mesir, kecergasan penuh Salah boleh menjadi kunci penting, memandangkan penyerang itu memasuki perlawanan menentang Australia dengan masalah kecederaan otot hamstring, dan pada beberapa ketika kelihatan enggan berlari laju sepanjang perlawanan 120 minit yang meletihkan itu.
Argentina pula secara terbuka mengekalkan nada berhati-hati mereka.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar,” kata pemain tengah, Leandro Paredes.
“Kami berada di peringkat elit bola sepak dan semua pasukan kebangsaan sangat baik dan kuat dari segi fizikal.”
Pemenang perlawanan di Atlanta itu akan menentang Switzerland atau Colombia di Kansas City pada 12 Julai (waktu Singapura). – Reuters.
