Topik diikuti
Pergi ke BHkuGol sendiri dalam masa tambahan hancurkan impian Cape Verde
Gol sendiri dalam masa tambahan hancurkan impian Cape Verde
Argentina mara ke pusingan 16 terakhir selepas tewaskan Cape Verde 3-2
Gol sendiri dalam masa tambahan hancurkan impian Cape Verde
MIAMI: Gol sendiri oleh pemain Cape Verde, Diney Borges, pada minit ke-111 menyelamatkan juara bertahan, Argentina, daripada tersingkir awal dalam pusingan 32 terakhir Piala Dunia.
Pasukan Cape Verde yang menduduki tangga ke-64 dunia dalam kedudukan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) memberikan tentangan sengit dan berjaya menyamakan kedudukan dua kali semasa menentang Argentina yang menduduki tangga kedua ranking dunia itu.
Kedudukan terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan, memaksa kedua-dua pasukan beraksi dalam masa tambahan.
Pemain pertahanan Argentina, Lisandro Martinez, menjaringkan gol pada minit ke-92 untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Namun, pemain Cape Verde, Sidny Lopes Cabral, menyamakan kedudukan 11 minit kemudian, dengan satu rembatan cantik ke penjuru gawang yang menewaskan penjaga gol, Emiliano Martinez, untuk menjadikan kedudukan 2-2.
Cabral hampir menyamakan kedudukan buat kali kedua untuk pasukannya, apabila percubaannya memaksa penjaga gol Martinez, membuat satu lagi aksi menyelamat cemerlang, empat minit sebelum tamat masa tambahan.
Terdahulu, ketua pasukan Argentina, Lionel Messi, membuka tirai jaringan pada minit ke-29.
Ia merupakan gol Piala Dunia ke-20 buat Messi, selepas beliau mengawal hantaran jauh pemain pertahanan Martinez sebelum merembat bola ke dalam gawang.
Namun, pasukan Cape Verde menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi jaringan Deroy Duarte.
Duarte membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang melepasi celah kaki pemain pertahanan Martinez, dari sudut yang sukar.
Pada minit ke-92 masa tambahan, pemain pertahanan Martinez, melepaskan rembatan kencang hasil umpanan Alexis Mac Allister dari sepakan sudut untuk menewaskan penjaga gol, Vozinha.
Selepas Cabral menyamakan kedudukan untuk Cape Verde, nasib tidak menyebelahi negara kecil itu apabila tandukan Cristian Romero terkena Borges dan masuk ke gawang sendiri pada minit ke-111.
Penjaga gol Cape Verde, Vozinha, 40 tahun, menyelamatkan lapan percubaan gol bahaya sepanjang perlawanan, termasuk menyelamatkan percubaan jarak dekat dan sepakan percuma Messi.
Pada akhir perlawanan, Martinez dan Messi dilihat menenangkan pemain-pemain Cape Verde berikutan kekalahan tersebut.
Dalam dua lagi perlawanan pada hari yang sama, Colombia menewaskan Ghana 1-0 untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Gol jaringan Jhon Arias pada minit ke-14 satu-satunya gol yang dijaringkan dalam perlawanan di Stadium Kansas City itu.
Di Stadiuam Dallas pula, Mohamed Salah menjaringkan gol Panenka, selepas perlawanan diheret ke tendangan penalti untuk membantu Mesir menewaskan Australia dan mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Mesir menang 4-2 menerusi tendangan penalti selepas perlawanan berkesudahan seri 1-1 di akhir masa tambahan 30 minit.
Ini bermakna semua 16 pasukan bagi pusingan selanjutnya telah diketahui, dengan beberapa perlawanan menarik dijangka, seperti Portugal lawan Sepanyol, Mexico lawan England dan Amerika Syarikat lawan Belgium. – Agensi berita.
Pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia 2026
- Canada lwn Maghribi 1 pagi, 5 Julai
- Paraguay lwn Perancis, 5 pagi, 5 Julai
- Brazil lwn Norway, 4 pagi, 6 Julai
- Mexico lwn England, 8 pagi, 6 Julai
- Portugal lwn Sepanyol, 3 pagi, 7 Julai
- Amerika Syarikat lwn Belgium, 8 pagi, 7 Julai
- Argentina lwn Mesir, 12 tengah malam, 8 Julai
- Switzerland lwn Colombia, 4 pagi, 8 Julai
