Topik diikuti
Pergi ke BHkuArgentina, Mesir tidak punya masa cukup rehat bagi pusingan 16 terakhir
Argentina, Mesir tidak punya masa cukup rehat bagi pusingan 16 terakhir
Argentina, Mesir tidak punya masa cukup rehat bagi pusingan 16 terakhir
KANSAS CITY (Amerika Syarikat): Argentina dan Mesir akan bertembung di pusingan 16 terbaik Piala Dunia pada 8 Julai (waktu Singapura) di Atlanta, namun tidak mempunyai banyak masa untuk pulih selepas kedua-dua pasukan melalui ujian fizikal berat dalam perlawanan kalah mati pertama mereka.
Juara bertahan Argentina memerlukan masa tambahan untuk menewaskan pendatang baru Piala Dunia, Cape Verde, 3-2 pada 4 Julai (waktu Singapura).
Manakala Mesir memerlukan sehingga 120 minit sebelum menewaskan Australia 4-2 menerusi sepakan penalti selepas seri 1-1.
Tempoh pemulihan yang singkat ini membimbangkan kedua-dua pasukan, terutamanya Argentina, yang kempennya kelihatan sempurna sebelum ini tetapi kini mula menunjukkan tanda-tanda kelemahan.
Selepas melepasi peringkat kumpulan dengan mudah, pasukan Argentina bergelut untuk menguasai permainan menentang Cape Verde, mencetuskan perdebatan sama ada persembahan itu hanya tersasar sekali sahaja atau bukti kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh bakal lawan.
“Apa yang membimbangkan saya sekarang ialah hanya ada empat hari untuk berehat, melakukan perjalanan, ramai pemain mengalami kekejangan, dan sekarang mereka perlu menentang Mesir, yang juga pasukan yang sangat kuat dari segi fizikal.
“Saya rasa mereka mempunyai lebih kelebihan di barisan hadapan berbanding Cape Verde,” kata bekas penyerang Sergio Aguero di ESPN Argentina.
Lionel Messi mengakui selepas perlawanan menentang Cape Verde bahawa beliau keletihan, dan meluahkan rasa kesal atas ketidakupayaan Argentina menekan pemain lawan di kawasan padang lawan.
Mesir berkemungkinan mendapat semangat daripada cara Cape Verde memberi perlawanan yang sukar kepada pasukan Amerika Selatan itu.
Pasukan Afrika Utara itu banyak bergantung pada cara pertahanan mereka, sambil mengharapkan Mohamed Salah dan Omar Marmoush untuk melancarkan serangan balas menentang Australia – pendekatan yang mungkin mereka gunakan sekali lagi menentang Argentina.
Bagi Mesir, kecergasan penuh Salah boleh menjadi kunci penting, memandangkan penyerang itu memasuki perlawanan menentang Australia dengan masalah kecederaan otot hamstring, dan pada beberapa ketika kelihatan enggan berlari laju sepanjang perlawanan 120 minit yang meletihkan itu.
Argentina pula secara terbuka mengekalkan nada berhati-hati mereka. “Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar,” kata pemain tengah Leandro Paredes.
“Kami berada di peringkat elit bola sepak dan semua pasukan kebangsaan sangat baik dan kuat dari segi fizikal.”
Pemenang perlawanan di Atlanta ini akan menentang Switzerland atau Colombia di Kansas City pada 12 Julai (waktu SIngapura). – Reuters.
