Arsenal benam Spurs, reda tekanan di puncak liga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal benam Spurs, reda tekanan di puncak liga

Tottenham terus bergelut di tangga ke-16, hanya 4 mata di atas zon penyingkiran
Feb 23, 2026 | 2:11 PM

Arsenal benam Spurs, reda tekanan di puncak liga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Eze, jaringan, gol
Pemain Arsenal Eberechi Eze (kiri) meraikan jaringan gol pertama ketika aksi Liga Perdana England menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, London. - Foto REUTERS

LONDON: Mutu hebat Arsenal akhirnya terserlah dalam kemenangan 4-1 ke atas Tottenham Hotspur, namun apa yang lebih mencuri perhatian ialah kebijaksanaan mereka memanfaatkan kelemahan taktikal Tottenham Hotspur.

Arsenal kini mengumpul 61 mata daripada 28 perlawanan, lima mata mengatasi Manchester City di tempat kedua yang bermain kurang satu perlawanan.

Formasi 3-5-2 yang diterapkan pengurus baru Spurs, Igor Tudor, serta pendekatan mereka untuk menyerang, membuka ruang untuk dimanfaatkan Arsenal.

Walaupun Arsenal menamatkan perlawanan dengan selesa, separuh masa pertama dianggap seimbang, dengan ancaman utama Arsenal banyak datang dari sayap kanan.

Di situ, gandingan Bukayo Saka dan Jurrien Timber membolehkan Arsenal untuk menguasai perlawanan.

Timber antara bek kanan paling berbahaya dalam aspek serangan di Liga Perdana England (EPL), dengan pergerakannya yang sukar dibaca dan kebijaksanaan beliau membaca permainan.

Saka sebelum ini menerima kritikan, namun ketika menentang Spurs beliau kembali menyerlah dengan penuh keyakinan.

Keserasian antara kededuanya menjadikan bahagian kanan Arsenal amat sukar dikawal, lebih-lebih lagi Spurs yang banyak bertindak balas terhadap ancaman berbanding mengambil inisiatif awal untuk menanganinya.

Gandingan Saka dan Timber memaksa Spurs untuk bergantung kepada lebih ramai pemain untuk cuba menghalang mereka.

Ada ketika Xavi Simons yang berperanan sebagai penyerang kedua terpaksa berundur membantu di posisi bek kiri.

Kadangkala Pape Matar Sarr turun dari tengah, atau Mickey van de Ven keluar dari posisi pertahanan tengah untuk menutup ruang.

Sistem Spurs memaksa pemain tertentu berlari jauh untuk bertahan, dan ini menyebabkan wujud kekeliruan peranan, termasuk situasi satu lawan satu seperti yang dialami Sarr ketika Arsenal menjaringkan gol pertama.

Menentang pasukan berkualiti seperti Arsenal, keadaan sebegitu akan membawa padah.

Pasukan kendalian Mikel Arteta semakin banyak mencipta peluang di bahagian tersebut, dengan Timber kerap memiliki masa untuk membuat hantaran tepat, termasuk umpanannya kepada Viktor Gyokeres bagi gol kedua.

Pada separuh masa kedua, kualiti Arsenal semakin menyerlah manakala Spurs kelihatan letih, apatah lagi dengan kekurangan pemain akibat kecederaan.

Apa yang mengagumkan, ketika mendahului 2-1, Arsenal tidak bertahan untuk mempertahankan kelebihan.

Sebaliknya, mereka terus menyerang dengan lebih tajam, mungkin mengambil pengajaran daripada perlawanan menentang Wolves apabila mereka dipintas selepas mendahului 2-0.

Eberechi Eze bukan sahaja menjaringkan dua gol, malah mempamerkan aksi menyeluruh yang cemerlang.

Persembahannya di posisi nombor 10 memberi masalah tambahan kepada jentera tengah Spurs, sekali gus menyukarkan mereka membantu di bahagian sayap.

Declan Rice turut memainkan peranan besar.

Selepas kesilapannya yang membawa kepada gol penyamaan Spurs, beliau bangkit dengan penuh fokus dan tenaga.

Ketika turun membantu pertahanan, beliau bermain ringkas dan selamat.

Namun apabila menyerang, beliau berani membuat larian ke depan, mencari ruang dan mengganggu pertahanan lawan.

Sebelum ini, pasukan yang menentang Arsenal sering menumpukan usaha mengekang Saka dan Martin Odegaard kerana dianggap nadi utama serangan.

Tetapi kali ini, Arsenal kelihatan berbahaya dari beberapa aspek.

Eze bijak mencari ruang di hadapan pertahanan Spurs, sekali gus memberi lebih ruang kepada Gyokeres.

Gyokeres sendiri memulakan aksi dengan baik dan akhirnya menikmati antara persembahan terbaiknya bersama Arsenal.

Gol pertamanya seakan menghilangkan beban di bahunya, dan dua jaringan dalam derbi ini pasti meningkatkan keyakinannya serta kepercayaan penyokong. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg