Arsenal gagal manfaatkan kelebihan dua gol, kedudukan liga terancam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal gagal manfaatkan kelebihan dua gol, kedudukan liga terancam

Manchester City boleh muncul juara jika menangi baki 12 perlawanan termasuk menentang Arsenal di stadium sendiri
Feb 19, 2026 | 3:45 PM

Arsenal gagal manfaatkan kelebihan dua gol, kedudukan liga terancam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
arsenal, wolves, epl, man city
Bek kiri Wolves, Hugo Bueno (kanan), menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menentang Arsenal pada 18 Februari. Jaringan beliau menyuntik semangat pasukannya untuk bangkit dan akhirnya seri perlawanan tersebut 2-2. - Foto REUTERS

LONDON: Selepas mensia-siakan kelebihan dua gol dan sekadar seri menentang pasukan tercorot Liga Perdana England (EPL), Wolves, pada 18 Februari, persoalan tentang ketahanan mental Arsenal untuk menamatkan penantian 22 tahun sebagai juara liga kini tidak lagi boleh dielakkan.

Buat kali pertama musim ini, perebutan takhta EPL tidak lagi sepenuhnya dalam genggaman Mikel Arteta dan pasukannya.

Jika Manchester City, yang kini ketinggalan lima mata di tempat kedua, memenangi baki 12 perlawanan termasuk aksi di stadium sendiri menentang Arsenal, mereka akan muncul juara.

Namun perkara sama juga boleh dikatakan bagi Arsenal yang masih berbaki 11 perlawanan, termasuk kunjungan penting ke Stadium Etihad pada 18 April nanti.

Selepas keciciran empat mata penting hasil dua keputusan seri berturut-turut menentang Brentford dan Wolves, bayang-bayang kegagalan lalu kembali menghantui Arsenal.

Tiga musim berturut-turut sebagai naib juara, yang dua daripadanya apabila tewas kepada pasukan kendalian Pep Guardiola, menjadi peringatan pahit yang sukar dilupakan.

Bekas penyerang Arsenal, Alan Smith, mengakui istilah “gugup pada saat genting” pasti akan kembali dibincangkan.

Awalnya, segalanya tampak memihak kepada Arsenal apabila Piero Hincapie menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu pada minit ke-56, menambah jaringan awal Bukayo Saka pada minit kelima.

Namun Arsenal gagal mengawal permainan dan tidak cukup tajam untuk mematikan cabaran Wolves, yang sebelum ini tewas dalam sembilan pertemuan berturut-turut dan tampak menuju ke arah penyingkiran.

Namun Wolves mempamerkan semangat luar biasa untuk bangkit.

Jaringan hebat jarak jauh Hugo Bueno membakar harapan pasukan itu sebelum pemain muda yang berusia 19 tahun, Tom Edozie, yang membuat penampilan sulung senior daripada bangku simpanan, memanfaatkan kekeliruan antara David Raya dengan Gabriel pada masa tambahan.

Percubaannya terkena Riccardo Calafiori sebelum menerjah masuk, memastikan keputusan seri bagi perlawanan tersebut.

Arsenal bakal berdepan dua aksi derbi London menentang Tottenham Hotspur pada 22 Februari dan Chelsea pada 1 Mac, dan mereka kelihatan mula goyah pada saat paling penting musim ini.

Arteta sedar pasukannya akan menjadi sasaran kritikan.

“Terima sahaja setiap pandangan. Kami memang tidak mencapai tahap yang diperlukan,” katanya.

Beliau menyeru anak didiknya supaya buktikan semangat mereka apabila menentang Spurs pada 22 Februari nanti.

Pengurus Wolves, Rob Edwards, berkata pasukannya sedar tekanan besar sedang menghimpit Arsenal, dan mereka berjaya memanfaatkannya.

Mereka hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan liga terakhir, iaitu menentang Leeds dan Sunderland.

Arsenal kini gagal mempertahankan kelebihan dalam tiga daripada lima perlawanan liga terakhir mereka.

Keputusan tersebut juga mencatat sejarah tersendiri, buat kali pertama dalam sejarah EPL, pasukan yang memulakan hari di tangga terbawah berjaya mengelak kekalahan menentang pendahulu liga walaupun ketinggalan dua gol atau lebih.

Alan Smith menyifatkannya sebagai detik penting yang mungkin membawa perubahan.

Menurutnya, dengan pengalaman City dan Guardiola, mereka kini dalam kedudukan lebih selesa dan boleh mengesan kelemahan Arsenal.

Arsenal juga gagal memenangi perlawanan liga di tempat lawan selepas mendahului dua gol buat kali pertama sejak April 2023 ketika menentang West Ham, satu rekod yang menjangkau 18 perlawanan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg