LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata bahawa senarai kecederaan pasukannya yang bertambah semakin membimbangkan apabila Riccardo Calafiori terpaksa digantikan semasa kemenangan 1-0 ke atas Shaktar Donetsk dalam Liga Juara-Juara pada 23 Oktober.
Pasukan London itu memulakan perlawanan tanpa kapten mereka, Martin Odegaard yang lama tidak bermain akibat kecederaan, dan juga tanpa penyerang mereka, Bukayo Saka akibat kecederaan juga.
Kini kemungkinan besar pemain pertahanan mereka, Calafiori juga akan terlepas perlawanan Liga Perdana England (EPL) apabila Arsenal menentang Liverpool pada 28 Oktober.
Calafiori dikatakan mengalami kecederaan pada lututnya.
Jurrien Timber, juga diramalkan tidak dapat bermain menentang Liverpool disebabkan kecederaan.
Dan seorang lagi pemain pertahanan Arsenal, William Saliba akan terlepas perlawanan itu akibat dilayangkan kad merah semasa perlawanan pasukan itu menentang Bournemouth pada 20 Oktober.
“Mengenai Riccy (Calafiori) beliau perlu dikeluarkan kerana terasa sesuatu (pada lututnya). Saya tidak tahu betapa serius kecederaannya tetapi ia bukan berita baik, ia agak membimbangkan,” kongsi Arteta, di mana pasukannya meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara.
Penyokong Arsenal boleh rasa lega kerana Ben White dikeluarkan pada waktu rehat bukan akibat kecederaan tetapi kerana beliau telah dikenakan kad kuning.
“Itu merupakan keputusan saya untuk keluarkannya. Beliau dikenakan kad kuning, dan kami tidak ingin bermain dengan 10 pemain seperti yang dialami baru-baru ini,” Arteta berkata.
“Mereka kerap memberi tekanan dan mempunyai ramai penyerang di jentera serangan, jadi kami tidak ingin mengambil sebarang risiko,” tambahnya.
Arteta seperti tidak yakin tentang peluang Saka kembali bermain menentang Liverpool, tetapi beliau sekurang-kurangnya berpuas hati dengan cara pasukannya bangkit semula selepas kekalahan di Bournemouth, walaupun mereka terpaksa bertahan asakan bertubi-tubi Shakhtar pada separuh masa kedua.
Arsenal kini menduduki tempat keempat dalam kumpulan 36 pasukan selepas kesemua perlawanan pada 23 Oktober selesai.
“Saya sungguh gembira dengan keputusannya. Ia selalu sukar di Liga Juara-Juara. Kami sepatutnya jaringkan lebih gol pada separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua ada terasa sedikit keletihan,” kongsi Arteta.
“Bermain selama 60 minit dengan 10 pemain (menentang Bournemouth) beberapa hari lepas agak sukar. Sesiapa sahaja boleh menangi perlawanan ini dan kami berjuang untuk mendapatkan kesemua tiga mata,” tambah beliau.
Perlawanan itu mungkin lebih mudah bagi Arsenal sekiranya penalti Leandro Trossard tidak diselamatkan penjaga gawang Shaktar Donetsk, Dmytro Riznyk.
Namun, Riznyk juga merupakan individu yang menjaringkan gol sendiri pada separuh masa pertama yang membawa kekalahan Shaktar Donetsk.
“Saya tidak tahu (mengapa Kai Havertz tidak mengambil penalti). Beliau merupakan antara pemain yang sepatutnya mengambil penalti tetapi Leo yang ambilnya,” kata Arteta.
Kegagalan Arsenal menambah jaringan hampir menyebabkan mereka keciciran mata.
Shakhtar bertambah yakin dan penjaga gawang Arsenal, David Raya terpaksa menghalang percubaan Pedrinho dengan hebat pada masa tambahan.
“Kami jarang dibolosi tetapi kami perlukannya (Raya) pada detik-detik sebegini,” kongsi Arteta.
Walaupun Arteta punyai beberapa masalah kecederaan yang perlu diatasi, masalahnya tidak boleh dibandingkan dengan masalah yang dihadapi pengurus Shakhtar, Marino Pusic.
Pusic berkata selepas perlawanan tentang kesukaran logistik yang dihadapi oleh satu pasukan dari negara yang dilanda konflik berterusan dengan Russia.
“Jadual perjalanan kami sukar. Apabila saya melihat sikap dan suasana yang positif, saya bangga,” kata Pusic kepada pihak media.
“Esok kami terbang semula ke Poland dan kemudian kami akan menaiki bas ke stesen kereta api dan kemudian menaiki kereta api malam yang mengambil masa kira-kira 20 jam. Ia sesuatu yang sukar. Tetapi hanya ini caranya,” jelas beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg