LONDON: Mikel Arteta mengakui Arsenal perlu bangkit “mendapatkan semula semangat” mereka menjelang pertemuan penting Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 30 April selepas pasukannya hanya mampu seri 2-2 ketika menentang Crystal Palace pada 24 April.
Keputusan itu membuka peluang kepada Liverpool merangkul trofi Liga Perdana England (EPL) awal dengan baki empat perlawanan.
Pasukan kendalian Arteta mengharapkan kemenangan ke atas Palace di Stadium Emirates untuk dijadikan pemanas badan menjelang penampilan pertama mereka di separuh akhir Liga Juara-Juara sejak 2009.
Namun, Palace, yang dibimbing Oliver Glasner, menjejas perancangan Arsenal.
Arsenal memulakan perlawanan dengan baik, apabila pemain pertahanan Jakub Kiwior memberi mereka kelebihan awal dengan menjaringkan gol pada minit ketiga.
Namun, Palace menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Eberechi Eze pada minit ke-27.
Jaringan Leandro Trossard tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama meletakkan semula Arsenal di depan, tetapi pemain gantian Palace, Jean-Philippe Mateta, menyamakan kedudukan pada minit ke-83.
Arsenal yang berada di tangga kedua kini ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool.
Dengan hanya empat perlawanan berbaki, skuad kendalian Arne Slot hanya perlu mengelak kekalahan menentang Tottenham Hotspur di Anfield pada 27 April untuk mengesahkan kejuaraan mereka.
“Kami kecewa dengan keputusan dan prestasi kami. Kami gagal bermain dengan konsisten untuk menguasai perlawanan,” kata Arteta.
“Daripada banyak aspek, kami sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik. Palace bermain dengan tersusun dan layak dipuji, tapi tahap kami sendiri merosot.”
“Kami tidak konsisten. Kerap hilang bola dengan mudah dan lambat dalam hampir semua tindakan. Kami perlu perbaiki banyak perkara.”
Lebih membimbangkan Arteta adalah pemain tengahnya, Mikel Merino, mengalami kecederaan yang menyebabkannya terlepas aksi menentang Palace dan berkemungkinan terlepas aksi menentang PSG.
Merino digunakan sebagai penyerang sementara selepas kecederaan yang menimpa Kai Havertz dan Gabriel Jesus.
“Kami perlu tunggu dan lihat, sebab mereka belum bersedia kembali bersama skuad kali ini,” kata Arteta apabila ditanya tentang tahap kesediaan Merino dan pemain pertahanan Ben White menjelang perlawanan menentang PSG.
Ini kali kesembilan Arsenal berada dalam situasi yang menyaksikan mereka mendahului perlawanan tetapi akhirnya seri - jumlah tertinggi sejak Spurs mengalami nasib serupa pada musim 2007-08.
Kegagalan mereka menamatkan perlawanan dengan kemenangan menyumbang kepada 13 keputusan seri daripada 34 perlawanan liga — faktor utama yang membolehkan Liverpool mendahului mereka dan hampir merangkul trofi EPL.
Berpotensi menamatkan musim sebagai naib juara EPL buat kali ketiga berturut-turut, skuad Arteta mengharapkan dapat mengakhiri kemarau trofi lima tahun mereka dengan penuh bergaya di pentas Liga Juara-Juara.
Pengurus asal Sepanyol itu menegaskan bahawa pasukannya kekal fokus walaupun menghadapi tekanan mendapatkan peluang ke final pertama mereka sejak 2006.
Namun, Arteta mengakui tempoh rehat hampir seminggu sebelum bertemu skuad kendalian Luis Enrique amat diperlukan.
PSG, juara Perancis, telah menyingkirkan Liverpool dan Aston Villa untuk mara ke separuh akhir.
“Kami memang tekankan tentang keperluan untuk fokus. Kami ada masa yang cukup untuk bersedia berdepan PSG, tapi hari ini kami tidak cukup bagus untuk menang,” katanya lagi.
“Tempoh rehat panjang ini sangat penting. Kami perlukan pemain kembali ke tahap terbaik. Ramai pemain utama kami tidak dapat bermain, dan itu menyebabkan standard kami turun.
“Kami akan berdepan perlawanan terpenting musim ini dalam enam hari. Kami perlu kembalikan semangat kami.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg