MADRID: Arsenal berjaya menangkis cabaran Real Madrid dengan mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk meraih kemenangan 2-1 di Stadium Bernabeu, Madrid, sekali gus mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, dengan agregat besar 5-1 pada 16 April.
Kemenangan 3-0 Arsenal pada suku akhir pertama minggu lalu memberikan mereka kelebihan selesa di ibu negara Sepanyol, apabila mereka mara ke separuh akhir, yang mana mereka akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG).
Pemain Arsenal, Bukayo Saka, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama, meletakkan pasukannya di hadapan dengan menjaringkan gol pada minit ke-65.
Walaupun pemain Real Madrid, Vinicius Junior menyamakan kedudukan, pasukan yang sudah menjulang trofi itu sebanyak 15 kali, seakan tidak benar-benar berusaha untuk mendapatkan kemenangan.
Gabriel Martinelli menambahkan luka Real Madrid dengan jaringan kemenangan di masa kecederaan untuk Arsenal, yang masih belum pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara.
Sementara itu, Inter Milan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara setelah mengalahkan Bayern Munich, 4-3 secara agregat, selepas seri 2-2 dengan pasukan itu dalam aksi kedua suku akhir di San Siro.
Juara Italy, Inter akan berdepan Barcelona pada separuh akhir selepas gol dalam tempoh tiga minit daripada kapten Lautaro Martinez dan Benjamin Pavard memadamkan jaringan Harry Kane buat Bayern yang menyamakan agregat pada minit ke-52.
Tandukan Eric Dier pada minit ke-75 membantu Bayern meraih keputusan seri tetapi ia tidak mencukupi buat pasukan kendalian Vincent Kompany untuk meneruskan usaha mereka dinobat sebagai juara Eropah buat kali ketujuh di laman sendiri, Allianz Arena, di Munich.
Pasukan Inter kendalian Simone Inzaghi mengatasi cuaca buruk di San Siro apabila hujan lebat dan angin kencang menjejaskan keupayaan kededua pasukan untuk memperagakan aksi terbaik.
“Kami berdepan jadual padat dengan banyak perlawanan satu demi satu, tetapi kami tidak berputus asa, kami mempunyai keperibadian, hati serta kebijaksanaan.
“Kami ketinggalan beberapa ketika hari ini tetapi kami buktikan sekali lagi kami boleh melakukan perkara hebat,” kata Martinez kepada wadah penstriman Amazon Prime.
Kemenangan tersebut membuktikan Inter lebih daripada mampu untuk layak ke final pertandingan kelab elit Eropah itu, seperti dilakukan mereka pada 2023 apabila tumpas tipis di tangan Manchester City. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg